Malik Idam Sarung Jersi Negara

Impian menyarung jersi skuad Harimau Malaya antara faktor Abdul Malik Mat Arif yang juga penjaring terbanyak tempatan dalam saingan Liga Perdana musim ini memilih Terengganu.

Tawaran Terengganu yang kembali beraksi dalam Liga Super musim depan mendorong bekas pemain Pahang dan Kuantan FA itu untuk mengembangkan kerjaya dalam sukan itu.

Sebagai pemain yang sudah tiga musim beraksi dalam Liga Perdana sejak 2015, katanya, sudah tiba masanya dia kembali dalam saingan Liga Super yang lebih menjanjikan saingan lebih sengit, lapor Metro.

“Pengalaman tiga tahun dalam Liga Perdana dan muncul penjaring terbanyak tempatan pada musim 2016 dan 2017 diharap membantu meningkatkan motivasi.

“Saya percaya pengalaman bersama Pahang dalam saingan Liga Super turut membantu untuk kembali beraksi selepas bersama mereka selama empat musim dari 2011 hingga 2014.

“Saya harap impian mewakili skuad kebangsaan akan tercapai dan saya sedia untuk membuktikan kemampuan selaku penyerang tempatan terbaik musim depan,” katanya.

Mengulas keputusan berhijrah ke Terengganu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, keputusan itu diharap mampu melonjakkan dia selaku penyerang terbaik dalam saingan Liga Malaysia, khususnya Liga Super.

Katanya, dengan membarisi skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim serta kembali beraksi dalam Liga Super, dia mengharapkan perpindahan yang dilakukan tepat.

“Saya berterima kasih kepada PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) terutama Irfan Bakti yang menawarkan tempat dalam skuad Penyu.

“Antara faktor utama saya memilih Terengganu adalah kerana pengalaman dan ketegasan beliau. Apabila beliau tempat, saya terus bersetuju kerana tahu kebolehannya dan pada masa sama mahu kembali beraksi dalam Liga Super,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.