Dua Beradik Suspek Bakar Pusat Tahfiz Dihukum Penjara Kerana Ganja

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang ditahan berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kanak-kanak di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memasukkan ganja ke dalam badan.

Majistret Zilfinaz Abbas memerintahkan remaja berusia 12 dan 16 tahun itu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 16 September lalu.

Mahkamah turut mengenakan bon RM5,000 setiap seorang tanpa cagaran dan diperintah melaporkan diri kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dua kali sebulan, selama dua tahun dengan ditemani ibu masing-masing.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa memasukkan ganja ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, kira-kira jam 11.35 pagi, pada 16 September lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum dua tahun atau denda dan perintah pengawasan polis selama dua tahun.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz, manakala peguam, Haijan Omar, mewakili tertuduh. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.