2,500 Anggota Tentera Sertai Misi Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu dan Kelantan

KOTA BHARU – Angkatan Tentera Darat (ATM) melalui 8 Briged mengerahkan seramai 2,500 anggota dan 17 pegawai dalam misi banjir di Kelantan dan Terengganu.

Seramai 500 anggota kini sudah berada di lapangan termasuk pusat pemindahan sementara di dua negeri terbabit manakala 2,000 lagi akan dikerahkan pada bila-bila masa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata selain keanggotaan, aset yang diperlukan juga sudah bersiap sedia untuk digunakan.

“Bilangan keanggotaan itu dipecahkan kepada enam pasukan dan 500 daripada mereka kini sedang bertugas dalam operasi.

“Dalam operasi banjir kali ini, sebanyak 16 bot tempur dan 30 kenderaan tiga tan disediakan dan boleh digunakan bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya ketika sidang media di sini, sebentar tadi.

Mohd Johari berkata di bawah prosedur operasi standard (SOP) ATM, anggotanya sentiasa bersiap sedia dalam operasi seperti itu dan akan digerakkan bila-bila masa.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 159 veteran ATM peringkat negeri Kelantan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah, Panglima Divisyen Kedua Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar dan Panglima 8 Briged, Datuk Nazari Abd Hadi.

Ketika ditanya berhubung kawalan sempadan ketika musim banjir, beliau berkata penugasan rondaan dan kawalan berjalan seperti biasa tanpa membabitkan anggota lain kerana ia di bawah Rejimen Sempadan (RS).

“ATM ada beberapa tugas khas dan begitu juga untuk kawalan sempadan kerana pasukan RS datang dari pelbagai negeri. Tapi kawalan tetap dipertingkatkan kerana segala kemungkinan boleh berlaku (penyeludupan musim banjir),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.