2 Lagi Atlet Emas Russia Digantung Seumur Hidup

BERLIN – Lima lagi atlet Russia yang bertanding di Olimpik Musim Sejuk Sochi pada tahun 2014, digantung seumur hidup akibat doping semalam, dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata, bekas ketua anti doping Russia yang kini menjadi pemberi maklumat, bercakap benar.

Antara atlet yang digantung termasuk Dmitrii Trunenkov dan Aleksei Negodailo, kedua-duanya berada dalam skuad emas luncur bobsleigh empat sepasukan, serta pemenang pingat perak acara biathlon berganti-ganti Yana Romanova dan Olga Vilukhina, yang turut memenangi perak acara 7.5 kilometer, lapor BH.

Penggantungan terbaru itu menjadikan keseluruhan 19 atlet Russia daripada temasya berkenaan digantung seumur hidup, dengan IOC membatalkan keputusan-keputusan berikutan penularan kes doping atlet-atlet Russia yang bertanding di Olimpik Sochi.

IOC turut mendedahkan punca mereka mengenakan hukuman gantung seumur hidup ke atas atlet pertama Russia yang disabitkan kesalahan dalam siasatan berkenaan – juara merentas desa Alexander Legkov.

IOC berkata, terbukti Legkov antara watak penting yang terbabit dalam skim mengganggu sampel atlet-atlet Russia di Sochi.

SKUAD luncur bobsleigh empat sepasukan Russia dari kiri; Alexander Zubkov, Aleksei Negodailo, Dmitry Trunenkov dan Alexey Voevoda meraih emas pada Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014. – Foto REUTERS

Badan induk Olimpik itu dalam proses menguji semula sampel-sampel atlet Russia daripada temasya itu selepas bekas ketua makmal anti-doping di Moscow, Grigory Rodchenkov mendedahkan terdapat usaha menutup keputusan-keputusan positf atlet mereka.

“Badan Disiplin IOC membuat kesimpulan, tidak kira apa punca dan kesalahan yang mungkin dilakukannya sebelum ini, Rodchenkov bercakap benar ketika dia menerangkan tentang skim yang diuruskannya itu,” kata IOC. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.