Bangladesh Halang Kemasukan Bot Pelarian Rohingya Dari Myanmar

DHAKA – Beberapa buah bot yang sesak dengan pelarian Rohingya dihalang oleh pengawal sempadan daripada memasuki Bangladesh, walaupun rayuan telah dibuat oleh pihak pembangkang negara itu agar minoriti Muslim yang ditindas itu diberikan perlindungan.

 

 

AFP melaporkan, ribuan etnik Rohingya yang terdesak dari negeri Rakhine telah melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak minggu lalu, dengan membawa pelbagai dakwaan jenayah rogol, penyeksaan dan pembunuhan di tangan angkatan keselamatan Myanmar.

 

 

Lapan buah bot yang cuba menyeberang Sungai Naf, antara Rakhine dengan selatan Bangladesh, telah dihalang pada Isnin selepas enam bot turut dinafikan kemasukan pada Ahad, ujar ketua pengawal sempadan di bandar Teknaf, Kolonel Abuzar Al Zahid.

 

 

“Setiap bot membawa antara 12 hingga 13 orang,” ujarnya.

 

 

Kenyataan dari Dhaka memberitahu, ribuan lagi masih bersesak di sempadan, namun masih tidak akan tunduk pada rayuan antarabangsa agar melepaskan mereka. Bangladesh sebaliknya menggesa Myanmar supaya mengambil langkah menghalang rakyatnya melarikan diri.

 

 

Sepanjang dua minggu ini, pengawal sempadan Bangladesh telah menafikan kemasukan lebih daripada 1,000 etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak.

 

 

Pemimpin pembangkang Bangladesh, Khaleda Zia, pada Ahad turut menyuarakan gesaan agar komuniti pelarian Rohingya itu segera diberikan perlindungan.

 

 

Sekurang-kurangnya 30,000 orang telah hilang tempat tinggal di Rakhine dan semuanya menuju ke Bangladesh meskipun kawalan sempadan diperketat susulan pusat penempatan sementara pelarian di dalam sempadan Bangladesh sudahpun sesak.

 

 

Salah seorang yang telah berada di kem pelarian di Bangladesh, Samira Akhter, pada Isnin memberitahu bahawa dia telah meninggalkan kampungnya di Rakhine bersama tiga orang anak dan 49 yang lain.

 
“Pihak tentera telah membunuh suami saya dan membakar rumah kami. Saya lari ke kawasan bukit bersama tiga anak saya dan jiran sekampung. Kami bersembunyi di situ selama seminggu,” katanya.

 

 

Pemimpin Rohingya di kem itu, Dudu Mia, berkata bahawa sekurang-kurangnya 1,338 orang telah tiba di situ sejak pertengahan Oktober.

 

 

Keganasan di Rakhine meningkat di Myanmar sejak bulan lalu selepas pasukan keselamatan membuat serbuan besar-besaran di Rakhine.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.