PERKASA Sambut Baik Langkah Kekalkan Akta Hasutan, Cadang Pinda Penahanan Tanpa Bicara

Petaling Jaya – PERKASA menyambut baik langkah kerajaan tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mencadangkan agar dimasukkan pindaan yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah tersebut bertujuan menjamin isu keselamatan dalam negeri dengan lebih berkesan dan melindungi kepentingan semua pihak.

Beliau menjelaskan, ”memasukkan semangat ISA iaitu Tahanan Tanpa Bicara (tapi kuasa bukan di bawah Menteri Dalam Negeri) supaya pihak keselamatan mempunyai instrumen yang berkesan untuk menangani isu Keselamatan Negara dengan lebih berkesan.”

”Hukuman juga hendaklah dipinda dibawah Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan dengan Hukuman Mandatori dan penjara tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 25 Tahun,” katanya dalam kenyataan media sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ibrahim turut mencadangkan pindaan yang dibuat hendaklah memasukan juga Bahagian 3, Perkara 152,153,181, Perkara 3, Perkara 8 (4) (C), Perkara 8 (4) (f), Perkara 11 (4), Perkara 12, Perkara 121 (1A) dan/atau Jadual 9 Senarai 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, pindaan lain termasuklah ”Seksyen 114 (g) Akta Keterangan di mana Mahkamah boleh membuat andaian/rumusan bahawa adalah satu perbuatan menghasut jika menyentuh perkara-perkara yang tersenarai.”

Presiden PERKASA itu berkata, para pemimpin UMNO mesti bertindak untuk kepentingan bangsa sendiri terlebih dahulu dan bukannya ”kera di hutan disusukan tapi anak sendiri gigit jari,” dalam soal pengagihan kekayaan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan program affirmatif untuk membantu Bumiputera menjelang Malaysia menuju negara maju pada 2020.

”Apa guna maju kalau bangsa terus terpinggir dan mengemis di bumi sendiri. Pembahagian ekonomi negara mestilah adil. Isunya bukan roti atau mentega tetapi kek ekonomi yang adil,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.