Najib Dengar Pandangan Rakyat, Bukan Mungkir Janji – Shabery

Kuala Lumpur – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menepis persepsi ramai pihak bahawa Perdana Menteri mungkir janji dalam menghapuskan Akta Hasutan 1948.
Sebaliknya, Datuk Seri Najib Razak mendengar hasrat akar umbi dan lebih mementingkan isu keselamatan negara berbanding kebebasan bersuara semata-mata.
Shabrey turut menolak dakwaan bahawa akta tersebut dikekalkan hanya untuk melindungi pihak-pihak tertentu daripada terus dikritik.
“Apabila majoriti rakyat merasakan keamanan penting dari kebebasan, maka Najib mesti dengar pandangan sedemikian.
“Ini proses demokrasi, melontarkan idea dan kita diberi masa panjang untuk masyarakat teliti, berbahas dan dalam masa yang sama beri ruang terbuka untuk masyarakat sivil untuk tidak menyalahgunakan ruang kebebasan yang diberikan,” katanya yang ditemui media selepas melancarkan buku ‘Kuasa Propaganda’ di PWTC, pagi tadi.
Shabery berkata demikian sebagai respon terhadap posting terbaharu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di blognya, paklah.net untuk tidak menjadi Akta Hasutan 1948 itu sebagai alat pelindung kuasa Umno.
“Tetapi dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan Umno. Kekuasaan dan kekuatan Umno datangnya dari sokongan rakyat.
“Ingatlah, jika rakyat sudah tidak menyokong kita, tiada rang undang-undang di bumi Allah ini yang akan menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa,” demikian memetik penulisan beliau.
Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menambah langkah pengekalan akta kontroversi itu pelu dianggap sebagai usaha mematangkan pemikiran dan tingkah laku rakyat.
Sementara itu ketika diminta mengulas gesaan Perwakilan Perak supaya Umno tidak lagi membuang masa mendapatkan sokongan kaum Cina, Shabery berkata itu merupakan satu luahan kekecewaan yang biasa.
Ini kerana khidmat yang mereka berikan kepada kaum tersebut gagal dikembalikan dalam bentuk undian dan kemenangan di dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Saya sendiri menghadapi perkara yang sama di kawasan saya, penduduk Cina agak terpencil tetapi bila mereka nak tanah bagi tanah, nak sekolah bagi sekolah, nak jalan bagi jalan tapi bila sampai waktu mengundi mereka kata, ‘maaf Yb, ini kalilah kami nak tumbangkan kerajaan Umno dan sebagainya.’
“Tetapi bagaimanapun, saya tetap mengatakan dalam sistem demokrasi dan pilihan raya yang mana setiap satu undi itu penting tanpa mengira ia datang dari kaum mana,” ujarnya.
Meskipun begitu, beliau menuntut Umno memperkasakan sokongan kaum Melayu terlebih dahulu sebelum meraih semula sokongan kaum-kaum lain.
“Tidak, kita tak boleh lupakan kaum Cina. Tapi Umno kena jaga asasnya iaitu orang Melayu. Dan jika sekiranya orang Melayu bersatu bersama Umno, saya percaya kaum Cina tiada pilihan dan akan bersama Umno,” demikian menurutnya.
Terdahulu, Perwakilan Perak, Datuk Mohamad Razi Manan menggesa Umno memberi fokus kepada perjuangan parti terhadap kaum Melayu sahaja.
Ujarnya sokongan dan undi kaum Cina akan pergi kepada bangsanya sahaja dan tidak memberi keuntungan kepada kaum Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.