Naib Presiden PAS Gesa Pakatan Rakyat ‘Lebih Longgar’ Demi Kesinambungan Gabungan

Shah Alam – Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Pakatan Rakyat beralih ke bentuk kerjasama yang “lebih longgar” demi kesinambungan gabungan pembangkang itu.
Beliau mencadangkan PAS, DAP dan PKR diberi ruang menetapkan dasar parti masing-masing di negeri yang diterajui oleh mereka.
“Soal dasar di negeri yang dimenangi DAP dan PAS (atau PKR) boleh ditentukan sendiri oleh parti itu, sejajar dengan dasar parti masing-masing, selagi dasar itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara dan tidak menyentuh perkara sensitif,” katanya kepada Harakahdaily.
PAS dan  DAP kerap bertikam lidah bersabit ketegasan PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan sejajar dengan agenda asas parti itu.
Bagaimanapun DAP lantang membantah kerana pelaksanaan undang-undang syariah itu tidak termaktub dalam kerangka kerjasama Pakatan Rakyat yang didokong bersama oleh tiga parti berkenaan.
PAS pula membantah dasar-dasar bersabit tanah di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP manakala di Selangor yang dipimpin PKR, PAS menolak cadangan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan menteri besar baru.
Di Sarawak, DAP secara terbuka mengisythiarkan tidak lagi bekerjasama dengan PAS dan PKR kerana membantah pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
Tuan Ibrahim membayangkan bahawa model kerjasama Pakatan Rakyat ketika ini terlampau ketat dan kerap mencetuskan perbalahan serta polimik dalaman.
“Sekarang saya fikir, mungkin kita perlu susun balik kerjasama dalam PR dengan model baru.
“Jika model lama ada polemik, model baharu itu pula kita kena fikirkan supaya gabungan itu lebih longgar, tidak sebagaimana gabungan hari ini,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata amalan untuk memastikan Pakatan Rakyat hanya menampilkan satu calon untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional boleh diteruskan.
Melalui model baharu kerjasama ini beliau berharap perkara itu tidak akan berlaku lagi kerana masing-masing mendapat mandat daripada pengundi.
Merujuk kepada kemelut Pakatan Rakyat di Sarawak, Tuan Ibrahim berkata keputusan untuk keluar daripada kerjasama dengan PAS dan PKR itu dibuat Pemuda DAP di negeri itu.
“Puncanya kerana isu hudud di Kelantan. Padahal perkara itu tidak ada kena mengena dengan Sarawak. Malah, isu hudud di Kelantan itu muncul sebelum PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama PR,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta DAP Pusat mengambil inisiatif bagi menyelesaikan perkara ini.
“PAS tidak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikannya sebab PAS tidak boleh campur tangan dalam parti lain dalam PR,’ kata beliau.
Usaha itu perlu dilakukan di peringkat pusat dan kita serahkan kepada DAP Pusat bagi menyelesaikan masalah pemudanya di Sarawak,” katanya.
Katanya, PAS akan berusaha untuk tidak berlawan dengan DAP dalam konteks pilihan raya di Sarawak nanti.
“Sepatutnya kita tidak berlawan sama sendiri. Jadi PAS akan berusaha supaya tidak berlawan dengan DAP di Sarawak. PAS akan bertanding di DUN yang dipersetujui. Kita akan cuba minimakan pertembungan sesama sendiri,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.