Kita Kena Fokus 90 Minit, Pastikan Layak Ke Separuh Akhir – Dollah

Singapura – Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mengingatkan pemain supaya kekal fokus bagi memburu kemenangan ke atas Singapura pada aksi terakhir kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, Sabtu ini.

Jurulatih itu mengakui mereka kini berada di jalan sehala dan hanya kemenangan sahaja akan menjamin tempat ke peringkat separuh akhir edisi ke-10 kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara itu.

“Kita kena fokus 90 minit. Walaupun kita main baik, tapi kalau keputusan mengecewakan, tidak berguna juga. Saya harap para pemain dapat mencari kemenangan bagi pastikan kita layak ke separuh akhir,” kata Dollah.

Dalam pada itu, Dollah mengingatkan skuad kendaliannya supaya tidak memandang rendah keupayaan negara Seberang Tambak itu yang sah kehilangan tiga tonggak utama pada aksi Sabtu ini.

Mereka adalah perancang tengah, Shahdan Sulaiman yang retak buku lali pada aksi kedua menentang Myanmar di Stadium Nasional, semalam yang menyaksikan mereka menang 4-2.

Pemain sayap kanan, Ismadi Mukhtar pula mengalami kecederaan pangkal paha manakala pemain pertahanan, Baihakki Khaizan digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.