Kekalkan Akta Hasutan, PDRM Sambut Baik Keputusan Kerajaan

Putrajaya – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia merupakan tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah.

“Saya amat mengalu-alukannya dalam keadaan sekarang apabila kebebasan untuk bercakap, kebebasan bersuara dan kebebasan menulis dan pelbagai perkara telah banyak disalahgunakan.

“…dan Akta Hasutan adalah undang-undang yang amat sesuai untuk menangani keadaan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM di sini hari ini.

Khalid mengulas pengumuman Najib, yang juga Presiden Umno bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2014, di sini hari ini.

Jelasnya, akta yang diguna pakai sejak sekian lama itu memiliki kekuatan tersendiri dan ia akan menjadi bertambah baik jika terus diperkemas dan ditambah baik.

Ditanya apakah penambahbaikan yang diharapkan oleh PDRM, Khalid berkata antara yang perlu diberi perhatian ialah dalam aspek pendakwaan, khususnya bagi memudahkan polis mengemukakan atau membuat pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Selain mengekalkan Akta Hasutan 1948, cadangan dua peruntukan khas yang akan dimasukkan ialah bagi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.