Jumlah Mangsa Banjir Teluk Intan Meningkat, Sebuah Lagi Pusat Pemindahan Dibuka

Teluk Intan – Jumlah mangsa banjir di Teluk Intan meningkat daripada 23 orang kepada 359 setakat jam 8 pagi Khamis berbanding 336 orang malam tadi dengan sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Masjid Jamek Air Hitam.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, 23 mangsa daripada 10 keluarga terbabit ditempatkan di pusat pemindahan yang baru dibuka itu manakala mangsa yang berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong kekal 336 orang.

“Banjir berlaku jam 4.30 pagi tadi berpunca daripada limpahan air dari Sungai Batang Padang berikutan berlaku banjir kilat di Trolak Pekan petang semalam,” katanya.

Katanya, paras air Sungai Bidor mencecah 15.75 meter dan penduduk yang terjejas adalah daripada dua kawasan penempatan iaitu Kampung Air Hitam dan Kampung Tengah.

“Paras air sungai di Changkat Jong meningkat kepada 3.56 meter berbanding 3.31 meter petang semalam. Penduduk yang terjejas adalah daripada empat kawasan penempatan iaitu di Lorong Mesra di Batu 7, Lorong Kedah di Batu 8, Lorong di Batu 11 dan Kampung Batu 9,” katanya.

Kejadian banjir hari ini adalah yang kedua melanda kawasan Changkat Jong dalam tempoh dua minggu selepas benteng Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan.

Dalam kejadian pertama 14 Nov lalu, sebanyak 56 mangsa banjir dari Lorong Mesra dipindahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.