Jangan Samakan Acuan Negara Kita Dengan Negara Lain – Zahid

Kuala Lumpur – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong dan bersetuju dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang menetapkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan.

Katanya, Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang berpijak di bumi yang nyata setelah menerima maklum balas ramai tentang akta berkenaan.

“Jangan samakan cara acuan negara kita dengan negara lain. Akta ini bertujuan baik, untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan serta keharmonian seluruh rakyat,” kata Zahid pada sidang media mengulas ucapan dasar Najib semasa Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut mengulas ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga bersetuju dan mengalu-alukan keputusan Najib mengenai pengekalan akta itu.

“Ia dapat mengekang individu-individu yang menghasut meminta Sabah dan Sarawak dikeluarkan dari Malaysia.Sememangnya kita sedar, keselamatan negara yang kita perlu pertahankan. Bayangkan jika ada anasir jahat, pasti akan ada pihak yang mengambil kesempatan,” ujarnya.

Sebenarnya, menurut beliau, keputusan itu adalah bukti pemimpin negara ini mendengar suara rakyat mengenai keselamatan negara.

Jelasnya lagi, ia bukan sahaja dilihat untuk menjaga keselamatan dan kepentingan anak Melayu, tetapi turut menjaga kepentingan negara.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, “Dulu bila kita umumkan bahawa Akta Hasutan 1948 ini akan dilihat semula dengan kemungkinan akta baru diketengahkan, segalanya kita sandarkan kepada tiada kompromi dalam mempertahankan undang-undang perjuangan UMNO.”

Tambahnya, keputusan untuk memperkukuh dan memperkasakan Akta Hasutan 1948 itu yang khususnya menyentuh tiga perkara iaitu agama, sensitiviti kaum dan kedudukan orang Melayu adalah amat melegakan.

“Amat tidak bermakna jika kita tak boleh pinda akta hasutan yang sedia ada. Niat kita tidak pernah menidakkan kedudukan Islam, kedudukan kaum dan bangsa kita,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.