Dyana ‘YB Kempunan’ Teluk Intan – Puteri UMNO

Kuala Lumpur – Selepas Wanita Umno menggelarkan pemimpin muda DAP Dyana Sofea sebagai ‘pemimpin mi segera’, hari ini giliran Puteri Umno pula menggelarkan Dyana sebagai ‘YB kempunan’.
Gelaran itu diberikan Penolong Bendahari Puteri, Nazliah Ali dalam ucapannya sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden Umno petang ini.
Nazliah memberikan gelaran itu selepas kedengaran seperti tidak berpuas hati dengan sesetengah pihak yang menggelarkan anggota Puteri sebagai ‘anak gajah’.
“Ada pula yang membandingkan Puteri dengan ‘YB kempunan’ di Teluk Intan.
“Ada juga yang kata Puteri ini anak gajah sedangkan saiz bukan perbandingan. Cuba tengok dalam dewan bukan semua anak gajah.
Bercakap lanjut, Nazliah turut menempelak anggota lelaki Umno yang mmembisu apabila pergerakan itu dikritik oleh Dyana.
“Persoalannya sekarang saya mahu tanya mana pergi lelaki sejati yang sepatutnya mengangkat solidariti dalam Umno?” tanya Nazliah.
Beliau turut menempelak tindakan sesetengah anggota Puteri yang cuba menjemput Dyana menyertai Umno.
“Hey! Hey! Apa kita ini sudah kebankrapan ahli berkualiti? Kita ini ada doktor serta ahli profesional yang berkualiti.
“Kalau berpolitik kena ukur lilit pinggangnya dahulu baik bubar saja Puteri, buat sayap baru – sayap ratu kebaya,” katanya.
Dyana yang merupakan calon DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan sebelum ini digelar sebagai pemimpin mi  segera oleh Penolong Setiausaha Wanita Umno, Rosni Sohar.
Mengulas gelaran itu, Dyana kemudian menyifatkan anggota Puteri Umno dan wanita dalam Umno sebagai tidak lebih daripada berperanan sebagai ‘penganjur acara’ semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.