Kuala Lumpur – Zainuddin hari ini membuat kejutan dengan memuji Perdana Menteri apabila Akta Hasutan dikekalkan. Beliau yang biasanya mengkritik dasar-dasar Najib dengan pedas menunjukkan dapat juga memberi pujian ketika Presiden UMNO mahu menerima dan membuat keputusan sesuai permintaan ahli-ahli UMNO.

Di Perhimpunan Agung UMNO hari ini, Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib disifatkan sebagai telah berjaya menjirus penawar ke akar umbi apabila mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan.

Sehubungan itu, Najib sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap kepimpinannya untuk masa depan Melayu dan negara ini, kata Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengucapkan “Syabas” kepada Najib.

Terdahulu, ketika berucap di pehimpunan tersebut, Najib berkata, Akta Hasutan bukan sahaja akan dikekalkan tetapi dipertahankan dan perkukuhkan untuk menjamin kesucian agama Islam dan mencegah penghinaan kepada agama lain. Dengan itu juga akan membolehkan tindakan diambil terhadap anasir -anasir yang mahu memisahkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Menulis entri terbarunya di zamkata.blogspot.com., berikutan perkembangan terbaru itu, Zainuddin menegaskan, pastinya pengumuman Najib menghapuskan anggapan buruk, prasangka dan persepsi terhadap beliau sebagai seorang yang telah tunduk kepada golongan liberal dengan menunjukkan dirinya sebagai seorang Melayu dan penerus warisan perjuangan ayahnya Tun Abdul Abdul Razak.

“Benar-benar ucapan dan jaminan ini ditunggu oleh para perwakilan kerana apabila Najib menyatakan bahawa beliau sedar apa yang sedang ditunggu oleh para perwakilan dan pada ketika itu mereka telah pun bertepuk dan Najib meminta mereka bersabar kerana beliau tahu apa yang mereka mahu dengar,” Zam menambah.

Zainuddin yang juga merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu menambah, sebaik sahaja pengumuman untuk kekalkan Akta Hasutan 48 itu diumumkan, para perwakikan menyambutnya dengan tepuk sorak bergemurah dan bangun bertempik sorak dengan penuh semangat.

“Syabas Najib! Daya kepimpinan mu terserlah untuk meneruskan ajenda bangsa dan negara dengan adil dan saksama tanpa menggugat lagi perasaan bangsamu sendiri dalam menggengam Perlembagaan Negara,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, ternyata jaminan Najib itu mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinannya yang telah merosot oleh kerana toleransinya sekian lama terhadap kebiadapan mereka yang cuba menentang Perlembagaan Persekutuan dan menjijak Akta Hasutan itu walaupun belum dihapuskan .

Tentunya jaminan yang diberikan oleh Presiden itu memerlukan susulan tindakan yang tegas dan berani yang boleh memantapkan lagi keyakinan rakyat terutama orang Melayu yang semakin merosot dan semakin terhakis sejak beliau menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan membiarkan perlakuan- perlakuan biadab golongan anti sosial berlaku dengan bebas .

“Berkerja keraslah seluruh orang Melayu untuk menambah kekuatan UMNO dan menyokong pimpinan yang dapat menjamin masa depan,” ujarnya.