Akta Hasutan Tidak Jejaskan Sokongan Gen-Y Kepada UMNO – Khairy

Kuala Lumpur – Pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk terus mengekalkan dan memperkukuhkan Akta Hasutan 1948 tidak akan menjejaskan sokongan generasi muda terhadap parti berkenaan, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, beliau yakin golongan muda sudah cukup matang untuk menerima keputusan tersebut yang bukan bertujuan menutup ruang kebebasan bersuara, sebaliknya diperlukan untuk melindungi keselamatan negara serta sensitiviti semua kaum dan agama.
“Iklim keterbukaan politik hari ini kita tak pernah hukum atau dakwa sesiapa yang memberi kritikan kepada kerajaan.
“Ini bukan untuk kita tutup ruang kebebasan bersuara.. ini untuk kita melindungi negara. Ada sesetengah perkara yang melangkaui batas…kalau nak kritik polisi, KJ tak mengapa..tapi jangan melampaui. Dan ada penghinaan agama, bangsa … bukan hanya Melayu dan Islam, tapi semua bangsa,” katanya dalam sidang media selepas ucapan dasar presiden Umno, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi yang mungkin diberikan golongan muda terhadap pengumuman berkenaan, di kala parti itu dilihat sukar mendapat tempat di hati pengundi muda yang cenderung menyokong pembangkang.
Pakatan Rakyat sebelum ini mendesak Najib menunaikan janji menghapuskan akta berkenaan kerana mendakwa ia digunakan untuk kepentingan kerajaan, selain menyifatkan ianya akta berat sebelah kerana ramai tokoh pembangkang didakwa di bawah akta tersebut.
Najib dalam ucapan dasarnya sebentar tadi menamatkan teka-teki berhubung pendirian parti itu berhubung Akta Hasutan 1948.
Najib sebelum ini berkata Akta Hasutan akan dimansuh dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada transformasi undang-undang negara.
Pengumuman itu  mencetuskan perbahasan berpanjangan mengenai  ketegasan kerajaan untuk menangani komen-komen berbaur perkauman dan cubaan sesetengah pihak mempersoalkan kewajaran Sabah dan Sarawak terus berada di dalam persekutuan Malaysia.
Mengulas lanjut, kata Khairy, Pemuda dan Puteri akan mendampingi golongan muda bagi menjelaskan keperluan pengekalan akta tersebut.
“Tanggungjawab saya sebagai pemimpin muda barangkali puteri juga adalah untuk terus mendampingi generasi muda dan kata ini bukan untuk menutup ruang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.