3 Naib Presiden UMNO Sokong Kekal Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Ketiga-tiga Naib Presiden Umno hari ini menyokong penuh keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948 sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden parti itu hari ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengadakan sidang media bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata ini menggambarkan Datuk Seri Najib Razak mendengar suara daripada akar umbi.
“Bukan sahaja kelegaan kepada agama Islam, tetapi turut kepada agama-agama lain. Sebabnya terlalu banyak sentuhan yang dilakukan kepada hal-hal sensitif ini.
“Diperkukuhkan dan diperkasakan juga kepada ada kumpulan dan pertubuhan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar yang telah berkempen untuk memisahkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia,” katanya sidang media mengulas ucapan dasar Najib semasa Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dikekal dan diperkukuhkan untuk melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mempertahankan kedaulatan negara.
Pengumuman Najib pada Perhimpunan Agong Umno ke-68 hari ini, sekali gus menamatkan kontrovesi berhubung nasib undang-undang itu yang diperkenalkan oleh penjajah British.
Zahid menambah pengumuman Najib itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh ramai pihak yang sebelum ini memberikan maklum balas terhadap akta kontroversi itu.
Bagaimanapun ia dilihat bertentangan dengan janji Najib pada 11 Julai 2012 yang lalu yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
Beliau mengulangi janji itu setahun kemudian, pada 2 Julai 2013 ketika memberitahu BBC World News bahawa kerajaan akan meminda akta tersebut dalam usaha memastikan Malaysia aman dan harmoni.
Mengulas perkembangan terbaharu ini, Zahid menggesa tidak ada campur tangan daripada pihak luar dalam urusan politik negara ini.
“Kami memuji keterbukaan PM yang memang berhasrat melakukan transformasi politik melalui penghapusan akta itu. Tetapi banyak maklum balas diterima, ertinya PM berpijak di bumi yang nyata.
“Bahawa realiti politik dan acuan politik disesuaikan dengan kepentingan dan keperluan masyarakat majmuk di negara ini. Jangan pernah disogokkan dengan acuan politik negara-negara lain,” tegasnya.
Hishamuddin kemudiannya berkata akta itu menunjukkan Umno tidak berkompromi dengan sebarang bentuk provokasi terhadap isu-isu sensitif.
“Jelas dengan pendirian PM untuk kembali kepada isu pokok, yang niat kita tidak pernah menidakkan kedudukan Islam, kaum, bangsa kita dan institusi raja-raja,” ujarnya.
Begitu juga diluahkan Shafie, apabila Akta Hasutan 1948 itu mampu mempertahankan keselamatan negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Bayangkan jika ada anasir-anasir jahat bukan hanya daripada pihak luar yang turut mengorbankan pasukan keselamatan kita di Lahad Datu, ada juga dari dalaman yang menimbulkan keadaan huru-hara, maka akan ada pihak mengambil kesempatan dari kelemahan itu.
“Ini satu langkah yang kita amat alu-alukan. Sememangnya kita sedar bahawa keselamtan negara merupakan salah satu tonggak penting yang perlu dipertahankan,” demikian menurutnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.