VIDEO: “Sehari Dapat Tak Sampai RM50, Nak Bagi Keluarga Makan Apa”, Keluh Pemandu Teksi

SHAH ALAM – Sejak insiden kekecohan gara-gara tindakan segelintir pemandu teksi bersikap biadap terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi minggu lalu, ramai yang menghina dan melontarkan kata-kata negatif kepada golongan berkenaan.

Masyarakat dengan mudah menjatuh hukum seolah-olah semua pemandu teksi bersikap biadap, tanpa mengetahui liku-liku dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pemandu teksi dalam mencari sesuap nasi buat keluarga.

Pemandu teksi kini terpaksa bergelut untuk ‘hidup’ sejak kewujudan Grab, yang dikatakan telah ‘merampas’ pendapatan mereka.

Ramasamy Palaniappan, 69, yang sudah hampir 12 tahun bekerja sebagai pemandu teksi memberitahu, pendapatan hariannya tidak pernah mencecah sehingga RM50 sejak wujudnya Grab.

Namun ujarya, beliau tidak menyalahkan penumpang kerana adalah hak mereka untuk memilih. Satu-satunya pihak yang patut disalahkan adalah kerajaan kerana tidak menangani isu teksi dan Grab secara bijak dalam mewujudkan suasana persaingan yang sihat kepada kedua-dua pihak.

“PM perlu ambil tindakan dalam isu ini. Kami susah hati betul. Macam saya, dari pagi sehingga sekarang 12 tengah hari, hanya dapat RM6 sahaja. Saya guna untuk makan, dah habis duit itu. Nak bagi apa pada isteri?

“Dulu boleh dapat RM60 hingga RM70 sehari. RM100 pun pernah dapat. Tapi masa sekarang RM20, kadang RM25. Semalam saya dapat RM19 sahaja. Lihatlah teksi banyak, tapi orang tak naik. Orang naik Grab. Tapi apa boleh buat. Kita tak boleh marah penumpang. Apa yang kerajaan buat, kami ni betapa susah… berapa lama lagi?,” keluhnya.

Sementara itu, Vijayan Munusamy, 60, berkata pemandu teksi tiada pilihan melainkan terus menerus mendesak kerajaan untuk menangani isu teksi dan Grab kerana sudah terlalu ‘penat’ menunggu janji yang diucapkan sebelum ini.

“Kami menunggu apa yang kerajaan mahu buat terhadap pemandu teksi. Itu yang kami tanya. Kami pun ada keluarga tapi sehari pun tak dapat RM50. Satu trip sehingga dua atau dua jam setengah kita tunggu

“Memang marah, hati memang marah. Sehari duduk saja tak dapat wang, gaji tak ada, hati mesti marah. Sampai petang dapat hanya RM40, RM50… Nak isi minyak, gas, nak makan. Bawa balik rumah wang tak sampai RM10, kadang-kadang tiada. Memang marah. Orang kerja tapi tak dapat gaji, memang marah. Kerajaan tengoklah pemandu teksi, jagalah sikit. Kami semua sudah tua-tua, bukan muda lagi. Grab ramai pemandu muda, mereka boleh buat kerja lain,” katanya yang sudah 15 tahun bekerja sebagai pemandu teksi.

Seorang lagi pemandu teksi, Ku Harun Ku Ismail, 63, berkata mereka bukan mendesak agar kerajaan menghapuskan terus perkhidmatan Grab. Sebaliknya kata beliau, apa yang diperjuangkan oleh pemandu teksi ialah supaya kerajaan memberi ‘layanan’ yang sama rata kepada pemandu teksi dan juga Grab, memandangkan pemandu Grab terlalu diberikan ‘kebebasan’.

“Kita teksi semua ada kelengkapan yang disyaratkan oleh kerajaan. Insurans kita tinggi, tidak seperti mereka (Grab) yang guna insurans biasa. Kita minima pun RM700. Mereka tak ada pemeriksaan Puspakom, kita kena buat pemeriksaan Puspakom. Kos setiap kali buat pemeriksaan dalam RM500 hingga RM600. Grab atau e-hailing tak perlu buat pula. Itu yang kita kalah dalam bersaing. Mereka juga tak ada buat PSV, kad pemandu…mudah lah bawa apa kereta saja.

“Harapan saya pihak kerajaan dapat menguatkuasakan undang-undang dengan segera terhadap pemandu GrabCar ini sebab kita tengok mereka pertamanya, kenderaan mereka tak ikut spec yang kerajaan tetapkan. Macam kami, kena 1500cc ke atas. Mereka pula bawa Myvi, Axia…jadi cc mereka tak cukup spec kerajaan. Mereka juga kena pergi pemeriksaan Puspakom, daftar dengan APAD untuk dapatkan kad pemandu, dan insurans meliputi penumpang,” katanya.

Ku Ismail juga berharap agar kerajaan dapat membantu pemandu teksi seperti pemberian insentif dan sebagainya dalam meringankan beban golongan berkenaan. – SuaraTv

One thought on “VIDEO: “Sehari Dapat Tak Sampai RM50, Nak Bagi Keluarga Makan Apa”, Keluh Pemandu Teksi

  • October 28, 2018 at 5:09 pm
    Permalink

    Bagi aku, setelah meneliti video clip di perjumpaan antara pemandu teksi dengan Ahli Parliment Langkawi sebenarnya ( aturcara yg dibuat adalah perjumpaan dg Ahli Parliment Langkawi dan bukan dengan P.M.) tidak ada sikap biadap yg sebenarnya ditunjukan oleh segelintir pemandu daripada hampir 300 kehadiran ( yang bersuara lantang hanya seorang dua dan yg ikut keluar hanya lima ke enam orang sahaja.) Yang bercakap biadap ni hanyalah pemberita akbar akbar yg sengaja menapi apikan keadaan..
    Tahukan tuan tuan (( sebenarnya tuan puan dan semua orang yg tinggal diluar Langkawi tak tahu pon)) bahawa didalam kempen untuk memenangi Parliment Langkawi, para pemandu teksi Langkawi dan keluarga mereka berkempen all out untuk kerusi umno ditumbangkan dan memberi kemenangan kpd Tun setelah Tun sendiri dihadapan ratusan pemandu teksi berjanji akan menghentikan operasi grab dan uber jika beliau menang kelak tetapi setelah menang, janji tak ditunaikan sama seperti janjinya utk hapuskan tol dan ptptn.
    Pemandu teksi di Langkawi amat tertekan dg pendapatan yg jatuh hingga 80 peratus sejak grap/uber diluluskan oleh kerajaan dahulu yg mana operasi grab/uber tidak memenuhi kriteria kenderaan perdagangan seperti akta JPJ seperti mematuhi beberapa peraturan berikut:-
    Kenderaan Grab
    1- Tidak perlu pemeriksaan keselamatan Puspakom jadi tiada jaminan berfungsi dengan sempurna.
    2- Tidak ada perlindungan insuran penumpang seperti teksi jika berlaku sebarang kemalangan. Dan jika penumpang maut kira mati kataklah dan kalau cedera parah, bayar sendirilah kos hospital.
    3- Pemandu grab tidak perlu buat pemeriksaan perubatan setiap tahun jadi para penumpang berisiko tinggi jika pemandu grab punyai penyakit berjangkit yg merbahaya seperti AIDS, Siplis, TB, Taun, Hepatatis, kurap dan kudis……
    4- Pemandu grab tidak perlu menjalani kursus etika kerja sbg pemandu perdagangan.
    5- Kenderaan teksi harus mempunyai permit kenderaan perdagangan dan diperbaharui secara tahunan..ini memerlukan kos
    6- Pemandu teksi harus ada kad pemandu dan di perbaharui secara tahunan…perlukan kos
    7- Pemandu teksi dan kenderaan harus didaftarkan dibawah akta syarikat iaitu SSM…ini juga perlukan kos.

    Grab boleh buat harga murah sbb mereka tak perlu tanggung segala kos yg disebutkan tetapi bila MOT ingin kuatkuasakan undang undang tersebut, mereka juga(grab) dah mula bising untuk MOT kaji semula harga tambang grab seperti sedia ada yg mereka katakan tidak beri pulangan yg baik. Cuba tuan puan ajukan soalan kpd grab bagaimana dg harga tambang yg diterima sekarang jika MOT kuat kuasakan undang undang Grab harus ada apa yg teksi ada, aku berani cakap mereka juga akan komplaint…..kalau nak bersaing sama rata patuhilah sop seperti teksi dan aku guaranti harga grab akan lebih tinggi dari teksi.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.