TMJ Bidas Mutu Pengadil Final Piala Malaysia

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas mutu pengadilan yang lemah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC dan Perak di Stadium Shah Alam, di sini malam Sabtu.

Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan rasa terkejut apabila mengetahui Suresh Jayaraman yang baginda sendiri tidak kenal telah ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan malam Sabtu.

Justeru, baginda bertitah adalah tepat pada masanya untuk MFL menggunakan khidmat pengadil luar negara mengendalikan perlawanan bola sepak yang penting di Liga Malaysia seperti yang diamalkan Liga Thailand pada masa ini.

“Inilah sebabnya MFL mahu membawa pengadil dari luar negara untuk perlawanan penting, tetapi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh tidak bersetuju.

“Subkhiddin katakan ia seperti memperkecilkan pengadil tempatan. Itu bukan sebabnya. Ini adalah kerana kita perlukan bantuan, anda boleh membaca artikel MFL sebelum ini,” titah Tunku Ismail dalam beberapa catatan twitter terbaharu baginda.

Perak menjuarai Piala Malaysia buat kali kelapan selepas mengalahkan Terengganu FC 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat masa perlawanan sebenar dan masa tambahan 30 minit. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.