Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau pernah berjumpa dengan Dr. Mahathir secara peribadi bersama Timbalan Presiden dan tiga Naib Pre­siden UMNO.

“Ia (mesej) sangat kuat dan jelas bahawa kami mesti melompat dan menyertai Bersatu, kami mesti membubarkan UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid mendakwa, beliau mungkin tidak berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah jika memilih untuk melompat parti.

Malah beliau turut memberi peringatan kepada kepemimpinan parti pembangkang yang lain bahawa mereka juga mungkin berdepan tindakan sama.

“Bukan hanya pemimpin UMNO akan terus disiasat, diheret ke mahkamah, saya hampir pasti pemimpin MIC, pemim­pin lain pun sama.

“Ada satu sayap (Pemuda UMNO) menyebut Presiden patut ambil cuti sehingga kes selesai. Kes akan selesai mungkin tiga, empat tahun, penggal pre­siden tiga tahun. No way (ja­ngan harap),” katanya. – UTUSAN ONLINE