Kes Undi Hilang Dari Sistem Berulang Di Pemilihan PKR Cabang Ipoh Barat

IPOH – Sebanyak 102 undi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat didapati hilang daripada sistem pengundian bagi pemilihan cabang parti tersebut semalam.

Ketua Pengawas Tempat Mengundi Cabang Ipoh Barat, Mohd. Hatta Marzuki berkata, data merekodkan sebanyak 470 ahli parti yang mendaftar dan mencetak kod namun terdapat 12 undi ragu daripada jumlah tersebut.

“Daripada jumlah 458 undi berkenaan, hanya 356 undi yang dihantar ke sistem manakala 102 undi lagi tidak dikembalikan.

“Terdapat dua kemungkinan iaitu masalah teknikal dengan kebarangkalian undi tersebut masih ada di dalam tab namun tidak dapat dihantar oleh server ke pusat atau pengundi yang hadir dan mencetak kod tetapi tidak menghantar undian ke sistem,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Tambah Mohd. Hatta, pasukan teknikal sedang berusaha mengesan 102 undi yang hilang itu dan keputusan bagi cabang tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jelasnya, setakat pukul 8 malam tadi, keputusan tidak rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR menunjukkan Rafizi Ramli mendahului dengan 178 undi meninggalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 149 undi. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.