Sohaimi Semakin Pulih Dari Cedera Ditikam

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan yang cedera selepas ditikam di hadapan rumahnya di Sungai Buloh dekat sini malam tadi kini dalam keadaan stabil dan semakin pulih.

Pegawai Khasnya Ameer Firdaus berkata Sohaimi yang cedera di kepala dan bahu kini ditempatkan di wad rawatan biasa Hospital KPJ di Damansara selepas menerima rawatan di bahagian kecemasan.

“Luka pada tubuhnya sudah dijahit semalam, beliau semakin baik dan sudah boleh bersembang macam biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Sohaimi dan anak saudaranya cedera selepas ditikam oleh jirannya yang dipercayai kurang siuman.

Kejadian dikatakan berlaku selepas Sohaimi pergi ke rumah jirannya untuk memaklumkan kepada ibu bapa suspek berhubung kelakuan lelaki berusia 20-an itu yang membaling batu ke rumahnya sehingga terkena anak saudaranya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt S. Somu berkata suspek direman selama enam hari sehingga 2 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Katanya polis turut menemui pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.