Permaisuri Johor Mahu Pergerakan Remaja Dipantau

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini bertitah meminta semua pihak saling bekerjasama dalam memantau pergerakan golongan remaja bagi mengelak mereka terjerumus dalam gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah demikian susulan tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat dekat Kuala Lumpur bulan lepas yang dipercayai akibat perbuatan khianat.

“Saya dan Sultan Ibrahim (Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) berasa dukacita dengan peristiwa yang berlaku di negara kita baru-baru ini iaitu seramai 21 pelajar tahfiz dan dua guru di pusat tahfiz tersebut terkorban akibat kebakaran dipercayai angkara khianat.

“Satu perkara yang lebih menakutkan, ia merupakan perbuatan remaja bawah umur yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Saya menyeru semua pihak supaya saling bekerjasama dalam memantau pergerakan anak-anak muda remaja masa kini. Mereka yang masih mentah amat mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak bermoral ini,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UTM ke-59, di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda mencadangkan mahasiswa UTM supaya menjalankan aktiviti berfaedah bersama-sama pelajar sekolah menengah dan membantu mereka mengelak daripada terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah.

Raja Zarith Sofiah turut berharap UTM, sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan bertaraf antarabangsa, dapat memainkan peranan dalam membantu menangani masalah sosial menerusi program-program khidmat masyarakat serta aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 394 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (906), sarjana muda (2,505) ,diploma (558) serta 1,039 ijazah sarjana muda dan diploma daripada program kerjasama UTM Space.

Pengerusi AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) Tan Sri Azman Hashim turut dianugerahkan ljazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan di atas sumbangan besar beliau kepada negara dan komuniti global. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.