Pembangkang Akui Bajet 2018 Bermanfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR — Berbeza daripada kelaziman, pemimpin pembangkang  mengakui Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberikan manfaat kepada rakyat khususnya kalangan mereka di peringkat bawahan dan pertengahan.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan memansuhkan kutipan tol di Selangor misalnya menguntungkan pengguna dan pasti dihargai rakyat negeri itu, lapor Bernama.

“Rakyat negeri Selangor berjaya mendapatkan hak mereka setelah beberapa tahun mengajukan hal tersebut,” kata Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini semalam.

Ketika membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang dan Plaza Tol Batu Tiga di Selangor  berkuat kuasa 1 Jan depan.

Kadar Tol Batu Tiga ialah  RM1.10 untuk  sehala  manakala  kadar Tol Sungai Rasau pula RM1 sehala.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata pemansuhan itu akan memberi impak yang baik kepada kos hidup rakyat. 

“Tol ini pun sama macam harga minyak, naik satu atau dua sen pun akan beri impak kepada rantaian ekonomi dan kos hidup rakyat. Bagus pemansuhan ini, boleh beri kesan baik kepada ekonomi rakyat,” katanya. 

Beliau juga melihat  bayaran khas sekali gus kepada ketua kampung dan tok batin sebanyak RM1,500 sebagai pengiktirafan kepada ketua masyarakat selain mencadangkan kerajaan menumpukan pembangunan di kawasan luar bandar yang masih banyak ketinggalan berbanding kawasan bandar seperti pengangkutan awam.

Ketua Menteri  Pulau Pinang, Lim Guang Eng pula menyambut baik pengumuman kerajaan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. 

“Diharapkan lapangan terbang itu akan menjadi lebih besar dan bukan hanya naik taraf secara kecil-kecilan sahaja,” kata pemimpin DAP tersebut.

Ditanya sama ada keputusan memansuhkan tol di beberapa lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor merupakan satu keputusan yang baik, Guan Eng mengakui kelebihan tindakan kerajaan itu dan berharap pemansuhan tol diperluas ke lebuhraya lain yang sudah lama dikenakan kutipan tol.

“Jambatan Pulau Pinang Pertama misalnya adalah antara dikenakan tol yang terawal dalam negara, dan saya rasa sudah sampai waktunya juga kerajaan pertimbangkan ini,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.