Nur Dhabitah Akur Jika Pingat Sukan SEA Ditarik Balik

KUALA LUMPUR – Terpalit isu doping rakan sepasukannya, Nur Dhabitah Sabri akur dengan kemungkinan penarikan pingat acara 3 meter papan anjal seirama wanita yang dimenanginya bersama Wendy Ng pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur Ogos lalu.

“Saya mahu Wendy tahu kami satu pasukan ada bersamanya dan memberi semangat kepadanya (kes doping).

“Kalau ikutkan mestilah kecewa (jika pingat ditarik balik) tapi sebagai satu pasukan, kami akan hadapi bersama apa juga keputusannya,” katanya selepas memenangi pingat gangsa 3m papan anjal wanita pada Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur FINA di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Pada Sukan SEA lalu, Dhabitah memenangi pingat perak dalam acara 10m platform wanita dan berkemungkinan akan memenangi pingat emas sekiranya emas Wendy ditarik balik sementara pingat acara 10m platform seirama mungkin ditarik balik.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Mengenai pingat gangsa acara 3m papan anjal wanita yang dimenanginya hari ini, Dhabitah berkata, dia gembira apabila dapat menyumbang pingat biarpun ia bukan acara kegemarannya.

Dhabitah memenangi gangsa dengan catatan 316.85 mata di belakang penerjun China, Wang Han dengan 342.60 mata yang membawa pulang emas serta perak yang dimenangi seorang lagi penerjun China, Chen Yiwen 338.25 mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.