Nikah April Depan, Dynas Mahu Segera Timang Cahaya Mata

KUALA LUMPUR – Pelakon Dynas Mokhtar, 34, yang bakal bernikah April depan memberitahu, ketika ini dia berharap segala perancangan untuk hari bahagianya itu akan dipermudahkan selain mahu segera menimang cahaya mata.

Jelasnya, selepas tiga tahun mengenali kekasihnya Shazrik Din , dia yakin sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri selepas hampir empat tahun bergelar ibu tunggal, lapor Utusan.

“Rasanya ini waktu yang sesuai untuk saya kembali bergelar seorang isteri selepas hampir empat tahun bergelar seorang ibu tunggal. Kami bertunang Khamis lalu dan memilih April tahun hadapan untuk melangsungkan perkahwinan.

“Sama seperti orang lain saya juga berharap agar perkahwinan kali ini akan kekal bahagia sampai bila-bila dan yang lebih penting untuk saya segera mengandung memandangkan umur saya yang semakin meningkat,” katanya.

Tambah Dynas atau nama sebenarnya Wan Edrinas Wan Mokhtar, persetujuan untuk berkahwin ini tidak sekadar hadir daripada dirinya sahaja tetapi juga keluarga dan anak-anaknya.

“Yang membuatkan saya yakin dengan Shazrik adalah dia seorang yang memahami saya. Selain kami juga sudah saling mengenali sebagai rakan sebelum ini.

“Shazrik juga diterima anak-anak saya dan keluarga. Malah ibu bapa Shazrik juga menerima kehadiran saya di sisi anak mereka,” katanya.

Sementara itu pelakon ini pernah berkahwin dengan Mohd Hafizi Mohamed pada 15 Mac 2008 sebelum bercerai pada 25 Februari 2014. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.