MyBrain15 Bakal Manfaat 10,600 Siswa Sambung Belajar

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan Bajet 2018 yang diumumkan semalam sebagai Bajet ‘Soaring Upwards’, berikutan peruntukan yang diberikan kepada kementerian itu meningkat sebanyak 13.15 peratus berbanding tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPT berkata peningkatan peruntukan daripada RM12.28 bilion kepada RM13.89 bilion itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara yang dilihat semakin meningkat dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa melalui penarafan dalam QS World University Ranking.

“KPT berterima kasih atas peruntukan biasiswa melalui program MyBrain15 sebanyak RM900 juta yang memanfaatkan 10,600 pelajar sarjana dan kedoktoran, serta pelaksanaan kursus sarjana dan PhD secara ‘in-house’ bagi memastikan pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam.

“Peruntukan bagi bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (RDC) yang akan memacu ekonomi negara ke arah Revolusi Industri 4.0 pula meningkat hampir dua kali ganda kepada RM400 juta berbanding RM235 juta pada 2017,” kata kenyataan itu.

Katanya, KPT juga akan terus komited dalam usaha meningkatkan enrolmen pelajar India ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang disasarkan sebanyak tujuh peratus selain menyambut baik peruntukan RM2.4 bilion kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke arah meningkatkan bilangan Bumiputera profesional.

“Dengan sokongan kerajaan melalui Bajet ‘Soaring Upwards’ ini, KPT amat komited dalam usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.