Kedah, JDT Catat Keputusan Seri Perlawanan Terakhir Liga Super

ALOR SETAR – Kedah sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ke atas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan terakhir cabaran Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman di sini malam ini.

Keputusan tersebut meletakkan skuad Helang Merah berada di tangga keempat dalam carta Liga Super musim ini manakala JDT pula kekal di puncak liga.

Kedua-dua pasukan yang mempertaruhkan tenaga pemain muda saling mengatur serangan untuk mencari gol pada awal perlawanan.

Pemain prolitif Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad hampir menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-30 namun tendangannya dalam kotak penalti berjaya dihalang pemain pertahanan kubu lawan.

Pada minit ke-39, Mohammad Hidhir Idris berjaya melepaskan sepakan kencang di luar kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Pemain import JDT, Mohammad Ghaddar yang dimasukkan pada separuh masa kedua mendapat peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-63 tetapi sepakannya dalam kotak penalti berjaya dihalang pemain tuan rumah.

Kedua-dua pasukan itu akan bertarung pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor pada 4 November ini. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.