Harimau Selatan Ada Mentaliti Juara Kata Gomez

Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez percaya kelab Harimau Selatan itu mempunyai peluang cerah merangkul kejuaraan Piala Malaysia biarpun Kedah dianggap sebagai lawan cukup hebat pada pentas final di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Beliau berkata, semangat yang ada dalam diri pemain Johor DT untuk menghadiahkan trofi yang belum pernah dibawa pulang untuk penyokong Johor sejak 1991, pasti menjadi azimat terbaik untuk melepasi halangan terakhir itu, lapor Metro.

“Saya boleh katakan peluang kedua-dua pasukan 50-50 untuk jadi juara kerana mereka pasukan terbaik di Malaysia ketika ini. Kedah akan beraksi buat kali ketiga berturut-turut di final dan mereka juga juara bertahan, jadi dari segi pengalaman pasti memihak mereka.

“Tapi Johor DT ada kekuatan tersendiri, mentaliti inginkan kemenangan, mentaliti sebagai juara ada dalam pasukan ini. Semangat mereka untuk menghadiahkan trofi buat penyokong setia boleh dijadikan faktor kejayaan kali ini,” katanya ketika dihubungi di Argentina, hari ini.

Ketika membimbing Johor DT selama dua tahun sejak 2015, Gomez gagal membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tetap dianggap antara jurulatih import yang berjaya dalam kancah bola sepak tempatan apabila membantu kelab Harimau Selatan itu merangkul kejuaraan Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.

Gomez, 60, berkata pertembungan Johor DT dan Kedah pasti menjanjikan aksi terbaik untuk peminat bola sepak tempatan.

“Perlawanan antara Johor DT dan Kedah sentiasa sengit, tak kira dalam apa perlawanan sekali pun. Kedah menang dalam perlawanan Piala Sumbangsih awal tahun ini, tapi untuk Johor DT tiada tekanan buat mereka.

“Saya tak datang menyaksikan perlawanan itu, mungkin saya menontonnya menerusi internet saja di sini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.