SuperKIP Pamer Aksi Bertenaga Di GP Malaysia

SEPANG – Kelibat penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi terus mencuri perhatian apabila memperaga tunggangan cukup bertenaga pada sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Malaysia, hari ini yang berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu.

 

Pada sesi pertama yang berlangsung keadaan litar separa basah, pelumba pasukan Honda Asia itu mencatat masa kedua terpantas, 2 minit (m) 16.371 saat (s) dan hanya dipisahkan 0.851s di belakang juara dunia Moto3 2016, Brad Binder.

 

Kecemerlangan itu kemudian diteruskan Khairul Idham yang turut dikenali SuperKIP pada sesi kedua apabila melakukan masa ketiga terpantas dengan catatan 2m 27.670s dalam keadaan litar basah.

 

Apa yang dicatatkan oleh Khairul Idham boleh dianggap mengagumkan kerana ia adalah penampilan pertamanya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menggunakan jentera Moto3 selepas kali terakhir beraksi di litar sama ketika saingan Asia Dream Cup dua tahun lalu.

 

“Saya cuma mahu mendapatkan pelarasan yang bagus dan sesuai dengan jentera,” kata Khairul Idham ketika ditemui, sebentar tadi.

 

“Selain itu, saya mahu berasa selesa dengan keadaan litar. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan catatan hari ini kerana dapat berada dalam kedudukan tiga terbaik di kedua-dua sesi latihan bebas.

 

“Bagi sesi kelayakan esok, saya berharap dapat berada dalam kedudukan 10 terbaik untuk memudahkan bersaing di kelompok hadapan,” katanya.

 

Khairul Idham boleh dianggap pelumba baru terbaik dalam kelas Moto3 selepas meraih dua kemenangan di GP Argentina dan Jerman menyebabkan kehadirannya di Sepang menjadi tumpuan.

 

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi sepenuh musim, Adam Norrodin dalam pada itu turut mencatat peningkatan memberangsangkan apabila melakukan masa ke-24 pada sesi pertama sebelum memperbaikinya pada sesi kedua dengan menduduki masa ke-13 terpantas.

 

Selain SuperKIP dan Adam, Malaysia turut mempunyai seorang lagi pelumba tempatan iaitu Amirul Hafiq Azmi yang beraksi menggunakan tiket wildcard bagi menggantikan John McPhee dari pasukan Peugeot MC Saxoprint yang mengalami kecederaan di Australia, minggu lalu.

 

Hafiq yang juga bekas pelumba Moto3 pada tahun 2014 bersama pasukan SIC-Ajo mencatat 2m 19.728s untuk berada di tangga ke-28 sesi latihan pertama sebelum melakukan masa ke-26 terpantas pada sesi kedua. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.