Militan Daesh Cukur Janggut, Cara Pakaian

KHAZIR, Iraq –Penduduk tempatan mendakwa anggota militan Daesh bertindak mencukur janggut dan me­ngubah tempat persembunyian mereka di Mosul, ketika tentera Iraq semakin mara ke bandar itu kelmarin.

 

 

“Saya pernah melihat beberapa anggota Daesh, namun mereka kini kelihatan berbeza berbanding dahulu.

 

 

“Mereka mencukur janggut dan mengubah cara berpakaian. Mereka kelihatan takut, mereka mungkin mahu melarikan diri dari bandar ini,” kata seorang bekas ahli perniagaan di Mosul, Abu Saif.

 

 

Terdahulu, AFP melaporkan, tekanan terhadap Daesh semakin memun­cak pada hari ke-10 serangan besar-besaran oleh pakatan tentera Iraq dan Kurdis bagi menawan kembali Mosul yang merupakan kubu kuat terakhir kumpulan militan itu di Iraq.

 

 

Malah, Amerika Syarikat dan sekutunya sudah merancang untuk menghancurkan kubu terakhir Daesh di Raqa, Syria.

 

 

Tentera Iraq yang sebelum ini berada sekitar 48 kilometer (km) dari Mosul kini cuma 5 km dari bandar itu.

 

 

Beberapa saksi berkata, anggota-anggota militan Daesh melakukan persediaan untuk melakukan serangan di bandar yang dikuasai mereka.

 

 

Beberapa penduduk dan pegawai tentera berkata, ramai militan Daesh telah ditempatkan semula di Mosul. Mereka kini bergerak ke tebing Sungai Tigris dan dekat dengan laluan keluar ke Syria.

 

 

Berpuluh-puluh ribu askar Iraq mara Mosul dari selatan, timur dan utara selepas operasi mengepung bandar itu dilancarkan pada 17 Oktober lalu.

 

 

Kira-kira 3,000 hingga 5,000 anggota militan Daesh dipercayai masih berada di dalam bandar Mosul dan kawasan sekitarnya bersama lebih satu juta orang awam yang terperangkap di bandar bergolak itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.