Jodoh Penderma Hati Dengan Penerimanya

CHICAGO – Seorang bekas anggota tentera laut tidak menyangka keputusan menderma sebahagian hatinya untuk menye­lamatkan seorang wanita yang tidak dikenali dua tahun lalu telah menemukan jodoh mereka berdua.

 

“Saya berfikir jika perkara ini berlaku dalam keluarga saya, saya memang sangat memerlukan bantuan orang lain,’’ kata Christopher Dempsey, lapor BBC.

 

Katanya, dia membuat keputusan menderma hatinya setelah mende­ngar cerita rakan sekerja tentang kea­daan sepupunya, Heather Krueger, 27, yang memerlukan pemindahan hati dengan kadar segera.

 

Pada masa yang sama, keluarga Krueger sedang bertarung dengan masa untuk mencari penderma sedangkan terdapat 119,000 lagi pesakit yang kini dalam senarai menunggu untuk mendapatkan penderma.

 

Doktor pula mengesahkan Krueger hanya mempunyai 50 peratus peluang untuk hidup dalam tempoh dua bulan jika pembedahan tidak dilakukan segera, berikutan penyakit hati ta­hap empat itu telah dideritai­nya selama dua tahun.

 

Lapan bulan selepas pembedahan itu, Dempsey melamar Krueger yang kini sedang menyambung pengajian dan berada dalam keadaan sihat.

 

Krueger pula berkata, dia tidak pernah terfikir akan menjadi isteri Dempsey selepas bersetuju untuk menerima pemindahan hati berkenaan.

 

Mereka berdua hanya bertemu pada Februari tahun lalu selepas hospital mengesahkan hati lelaki itu sepadan dengan Krueger.

 

Seminggu sebelum pembeda­han pemindahan hati itu berlangsung, mereka kerap menghabiskan masa bersama-sama selain Dempsey dan kelab motosikal yang dianggotainya turut mengadakan kutipan derma bagi membantu Krueger.

 

“Saya yakin semuanya akan berjalan lancar dan tidak pernah terfikir untuk menarik semula keputusan menderma hati itu walaupun terdapat kemungkinan perkara buruk akan berlaku,’’ katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.