Wings Sudah Bersedia Gegarkan Stadium Merdeka

Kuala Lumpur – Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kumpulan rock legenda negara, Wings akan mengadakan konsert mega bagi meraikan ulang tahun ke-30 pembabitan mereka dalam dunia seni.

 

Bakal diadakan di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini (Sabtu), ternyata Wings sudah bersedia untuk menggegarkan lokasi keramat itu dengan persembahan yang akan dikenang sepanjang hayat oleh peminat tegar mereka.

 

Kata vokalis utamanya, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, dia dan ahli kumpulannya sedang menjalani latihan intensif bagi memastikan semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang.

 

Jelas bekas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ketiga (1996) menerusi album Awie Live Unplugged itu lagi, Wings akan mempamerkan konsep persembahan yang seiring dengan perjalanan tiga dekad mereka sebagai anak seni.

 

“Semuanya berkaitan dengan angka 30 termasuklah repertoire kami yang merangkumi 30 buah lagu yang akan dipersembahkan sepanjang konsert itu kelak.

 

“Dan, kami yakin peminat tidak akan kecewa kerana kesemua lagu yang kami pilih akan membuatkan penonton dan mereka yang membesar dengan lagu-lagu kami akan mengimbau kenangan serta perjalanan seni kami mengikut era.

 

“Untuk menjadikan konsert itu lebih menarik, kami akan tampil dengan tema Glam Rock dan mahu melihat ia menjadi sebuah festival gilang-gemilang khusus buat peminat tegar kami,” kata Awie ketika ditanya tentang persiapan konsert yang cukup ditunggu-tunggu itu dalam satu sidang media di ibu negara, baru-baru ini.

 

Tambah pelantun yang kini sedang popular dengan lagu Ingatkan Dia itu lagi, bukan hanya lagu tetapi kesemua ahli kumpulan Wings juga akan menggayakan pakaian yang pernah dipakai oleh mereka mengikut era berbeza.

 

Untuk itu kata Awie, dia mahu peminat Wings hadir ke konsert berkenaan dengan hati yang terbuka dan sama-sama menyertai acara tersebut tanpa rasa malu dan segan untuk berpakaian seperti rockers.

 

“Seperti mana yang saya katakan tentang konsert ini yang diibaratkan sebagai sebuah festival, kami sangat berbesar hati apabila ramai artis sudah mengatakan persetujuan untuk terlibat sama dalam konsert ini.

 

“Bukan hadir sebagai seorang tetamu tetapi mereka juga akan sama-sama mengadakan persembahan termasuklah Datuk Hattan, Amy Search, Ella, Nash dan ramai lagi.

 

“Bahkan, penyanyi yang pernah menyertai Wings sebelum ini seperti Mel dan Mus juga akan membuat persembahan selain bekas anggota Wings lain iaitu Jojet dan Sham.

 

“Dengan penglibatan mereka itu, ia membuatkan kami lebih teruja untuk beraksi di hadapan penonton dan peminat pada hari Sabtu ini,” ujar Awie lagi.

 

Dalam pada itu, Awie menyifatkan perjalanan seni mereka selama ini bukanlah sesuatu yang mudah sehingga mampu bertahan sehingga ke hari ini.

 

Ujarnya yang juga seorang pelakon itu lagi, sejak mula ditubuhkan pada tahun 1985, terlalu banyak ranjau yang perlu ditempuhi termasuklah episod duka apabila dia pernah meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1993.

 

“Kami sebenarnya tidak pernah berpecah tetapi hanya saya sahaja yang pernah membuatkan keputusan untuk membawa haluan sendiri seketika bagi meneruskan dunia seni saya.

 

“Namun, perkara itu banyak mengajar saya tentang erti persahabatan, kehidupan dan persaudaraan kerana ia membuatkan kami berempat terus menjadi kuat mempertahankan kumpulan ini.

 

“Pengalaman itulah yang telah menjadikan kami manusia yang lebih matang, bijak dan menghargai apa yang ada di sekeliling kami. Percayalah, Wings akan terus kekal unggul seperti mana yang ada hari ini,” ikrar Awie sambil disaksikan dan dipersetujui oleh ahli kumpulan Wings yang lain.

 

Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket untuk menyaksikan konsert hebat ini, anda masih boleh berbuat demikian dengan melayari laman web, www.ticketholine.com.my. Untuk sebarang keterangan lanjut dan maklumat, sila layari www.sayap2wings.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.