Putera Arab Saudi Ditahan Bawa Dua Tan Dadah

BEIRUT – Seorang putera raja Arab Saudi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut, selepas dua tan dadah jenis amphetamine yang dipercayai mahu diseludup keluar menggunakan jet peribadinya, semalam.

 

Putera Abdel Mohsen Bin Walid Bin Abdulaziz serta empat lagi ditahan selepas penemuan dadah itu ketika ia hendak dimasukkan ke dalam pesawat. Rampasan dadah itu dikatakan yang terbesar di Lubnan tahun ini.

 

Menurut sumber keselamatan Lubnan, mereka dipercayai cuba menyeludup dua tan pil Captagon dan sejumlah kokain.

 

Captagon ialah nama yang popular untuk dadah amphetamine phenethylline. Ia digunakan untuk merawat masalah perlakuan yang tidak seimbang tetapi kini digunakan sebagai dadah pengkhayal di Asia Barat serta sudah lama diharamkan di Barat.

 

Ia juga digunakan pemberontak dalam perang di Syria bagi meningkatkan tahap kesedaran.

 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan ke mana dadah itu mahu dibawa tetapi pesawat berkenaan dijadual berlepas pulang ke Arab Saudi.

 

Ada laporan menyatakan pengedar yang membekalkan dadah kepada pemberontak dan tentera kerajaan dalam perang Syria berjaya menghasilkan Captagon yang kini diseludup keluar melalui Lubnan ke pasaran Asia Barat.

 

Ia adalah berita buruk kedua membabitkan putera kerabat diraja Arab Saudi. Bulan lalu, Putera Majed bin Abdullah ditahan di Los Angeles atas tuduhan cuba memaksa seorang wanita melakukan seks tetapi dakwaan itu digugurkan minggu lalu. – Irish Independent

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.