PM Najib Gesa Pemimpin Agama Bantu Bina Kepercayaan Bersama Rakyat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pemimpin-pemimpin agama dan para pengikut mereka supaya berusaha membina kepercayaan bersama, saling menghormati, persefahaman dan kerjasama bagi melahirkan kewujudan bersama yang aman.

 

Perdana Menteri berkata adalah amat penting mewujudkan keamanan dan keselamatan seperti yang dikehendaki oleh semua orang.

 

 
“Kita mesti membuat komitmen tegas untuk mewujudkan budaya toleransi dan menggalakkan keharmonian yang lebih baik demi kesejahteraan manusia, dan mengetepikan perkara yang boleh memecahbelahkan kita,” kata beliau.

 

 
Najib berkata demikian semasa merasmikan seminar antarabangsa mengenai ‘Agama dan Kewujudan Bersama Yang Aman: Menerima Perbezaan dan Mendukung Nilai’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, Selasa.

 

 
Perdana menteri memberitahu hadirin bahawa laluan ke arah melahirkan kewujudan bersama yang aman bukanlah seperti bersiar-siar di taman.

 

 
“Untuk melahirkan kewujudan bersama yang aman di negara seperti Malaysia merupakan satu cabaran, tetapi ia sesuatu yang perlu sentiasa kita usahakan dan terus lakukan dengan kebijaksanaan, kebaikan dan keadilan,” kata Najib.

 

 
Beliau berkata satu daripada cara untuk melakukannya di Malaysia dan luar daripadanya ialah dengan menerima realiti bahawa terdapat perbezaan dalam pelbagai agama – dan menyedari “bahawa kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju”.

 

 
Perdana menteri menegaskan daripada mereka menekankan perkara yang boleh membawa perbalahan antara agama, mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada persamaan yang ada.

 

 

“Dan sebenarnya, banyak persamaan yang ada dalam nilai-nilai yang digalakkan oleh kebanyakan agama. Kita perlu menerimanya demi kepentingan semua daripada saling berbalah dan memperbesarkan perbezaan yang ada untuk memenuhi agenda politik atau strategik,” jelas beliau.

 

 
Najib berpendapat nilai-nilai bersama itu boleh membawa kepada melahirkan masyarakat yang aman, harmoni dan bertoleransi yang dapat memanfaatkan semua pihak.

 

 

Najib berkata membina keamanan dan mengekalkan keharmonian antara agama adalah tugas yang murni dan penting, selain memastikan perpaduan dalam agama masing-masing tidak diketepikan.

 

 

Beliau turut membangkitkan mengenai perlunya mengamalkan pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah yang membawa mesej supaya sentiasa berbuat baik, tabah dan berlaku adil serta menolak segala bentuk kejahatan.

 

 

“Dengan mengamalkan wasatiyyah, saya percaya agama boleh menjadi jambatan pembina yang kita perlukan dalam dunia hari ini,” kata beliau.

 

 

Mengulas lanjut, Najib berkata pendekatan wasatiyyah itu penting kerana ia bermaksud ‘seimbang’ dan ‘terbaik’.

 

 

“Tanpa wasatiyyah, masyarakat mudah terjebak dalam ekstremisme yang menyebabkan radikalisme seperti IS atau ekstremisme yang mengancam agama seperti ekstremis liberalisme,” katanya.

 

 

Seminar dua hari itu yang berakhir esok bertujuan memberi kefahaman yang lebih baik mengenai peranan agama dalam menggalakkan kewujudan bersama yang aman bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.