Pelajar Meninggal Dunia Ketika Menduduki Peperiksaan STAM

KUANTAN – Seorang pelajar Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) meninggal dunia secara mengejut semalam.

 

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, pelajar terbabit Tengku Nur Najihah Tengku Marzuki, 18, dilaporkan sedang menunggu untuk mengambil peperiksaan untuk kertas Arudh apabila tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

 

 

“Arwah ketika itu dilaporkan sedang belajar di surau sekolah sementara menanti untuk menduduki peperiksaan kertas berkenaan pada hari terakhir peperiksaan STAM semalam.

 

 

“Bagaimanapun, beliau dilaporkan tiba-tiba rebah meyebabkan rakan-rakannya memaklumkan kepada pihak sekolah sebelum pihak ambulans dihubungi,” katanya.

 

 

Beliau berkata, Tengku Nur Najihah bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Daerah Pekan untuk dibedah siasat.

 

 

Peperiksaan STAM bermula 19 Oktober hingga 27 Oktober.

 

 

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian telah dituntut oleh keluarga kira-kira pukul 3 petang tadi untuk di kebumikan di Kampung Balok di sini.

 

 

Sementara itu, Mohamad Noor berkata, JAIP mempunyai empat buah sekolah aliran agama di bawah kendalian jabatan itu dengan melibatkan lebih 800 pelajar yang menduduki STAM.

 

 
Katanya, daripada empat sekolah berkenaan Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan merupakan sekolah paling ramai pelajar yang menduduki STAM tahun ini yang melibatkan 643 pelajar di empat pusat peperiksaan. -Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.