PAS Tak Takut Hadapi Pertandingan Tiga Penjuru

KOTA BHARU – PAS tidak sesekali gentar dengan apa sahaja cabaran untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, meskipun berlakunya pertandingan tiga penjuru.

 

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata sekiranya keadaan itu berlaku antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan Pakatan Harapan, parti tersebut melihatnya sebagai suatu perkara yang positif, sekaligus nekad untuk tidak berganjak.

 

“Menang dah biasa, kalah pun dah biasa, kita tidak panik untuk menghadapi kemungkinan. Politik ini seni. Tidak semestinya berlaku 3 penjuru itu kita boleh kalah. Kadang-kadang ia lebih baik untuk mencapai kemenangan. Kita akan lihat nanti.

 

“Komitmen pimpinan PAS ialah tidak akan mengurangkan kerusi yang telah kita pertandingkan. Bertambah (kerusi) itu juga kemungkinan. Maksudnya kita akan berdepan dengan segala karenah dalam perbincangan, rundingan dan PAS kena kuat,” katanya ketika diwawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.

 

Sebelum ini ramai pihak membayangkankan PRU14 yang akan berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi sebagai sengit apabila kemungkinan besar berlakunya pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan Pakatan Harapan.

 

PAS terpaksa bertanding sendirian tanpa gagasan pembangkang selepas mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

 

Mengulas lebih lanjut berhubung pendirian untuk terus bersendirian, Nasruddin berkata tidak ada apa-apa yang pelik kerana PAS pernah laluinya sebelum ini menerusi Angkatan Perpaduan Ummah.

 

Mengulangi pendirian pimpinan PAS yang lain, Ahli Parlimen Temerloh itu juga bertegas perbincangan untuk berdepan dengan PRU14 hanya akan dilakukan bersama PKR sahaja.

 

“Sekarang kita dengan PKR, dan PKR dengan DAP dan Amanah. Kita tak boleh menentukan kaedah parti lain, cuma sehingga kini PKR belum membatalkan atau ada sebab yang membatalkan tahaluf kita dengan PKR.

 

“Dengan keadaan itu dalam menghadapi PRU14 perbincnagan kita dengan PKR sahaja. Bagaimana soal percaturan, pengagihan dan kedudukan akan ditentukan kemudian,” ujarnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.