Fitnah Najib, Bekas MB Perak Minta Maaf

Ipoh – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin yang didakwa atas tuduhan membuat kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas beliau membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri.

 

Adun Changkat Jering itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Najib di hadapan hakim, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

 

“Berdasarkan kenyataan yang dibuat terhadap perdana menteri, saya menyedarinya ia tidak berasas.

 

“Sehubungan itu, saya memohon maaf kepada beliau.

 

“Saya akan sentiasa berhati-hati dengan kenyataan saya dan ia tidak akan berlaku lagi,” kata Nizar.

 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim berkata, surat permohonan maaf turut dihantar Nizar kepada Najib pada 22 Oktober lalu.

 

Beliau berkata, Najib telah menerima surat berkenaan dan bersetuju supaya kes tersebut dikompaunkan, serta diselesaikan menerusi permohonan maaf secara terbuka.

 

Nizar, 58, didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini pada 23 April 2012.

 

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

 

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.