DAP Pahang Tukar Pucuk Pimpinan

TEMERLOH – DAP Pahang akan kekal teguh walaupun bertukar pucuk pimpinan dan sebahagian besar daripada 15 Ahli Jawatankuasa yang menang dalam pemilihan 25 Oktober lalu adalah muka baharu.

 

Bekas Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, walaupun tidak berjaya mengekalkan kerusi nombor satu di Pahang tidak bermakna parti tersebut meminggirkan ahli Melayu.

 

Menurutnya, sehingga kini beliau masih kekal terpilih dalam 15 AJK yang dilantik daripada 32 yang bertanding dan seorang lagi ahli Melayu yang tersenarai adalah Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri.

 

“Walaupun gagal kekalkan jawatan tetapi saya dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP negeri iaitu kedudukan nombor tiga di peringkat negeri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

 
Zulpuri yang juga Adun Mentakab berkata, beliau akan bekerja mengikut pimpinan baharu diketuai Leong Ngah Ngah selepas gagal mengekalkan jawatan itu.

 

Beliau berkata, kalau dahulu AJK di dalam negeri ini di bawah kepimpinannya sekarang tiba masanya untuk beliau mengikut pimpinan baharu Leong Ngah Ngah.

 

Menurutnya, Leong Ngah Ngah juga bukanlah muka baharu bahkan mempunyai kekuatan tersendiri apabila pernah menjadi Pengerusi DAP untuk tempoh yang panjang sebelum ini.

 
“Yang menang dalam 15 AJK yang dipilih itu juga bukan muka baharu tetapi orang berlainan, mereka sudah lama dalam DAP tetapi dipilih menerajui DAP di negeri.

 

“Soal pasukan saya kalah dalam pemilihan kali ini juga tidak berlaku kerana saya tidak ada pasukan sendiri, mungkin ada yang cenderung bersama saya dianggap pihak lain mereka adalah orang saya.

 

“Memang kita akui dalam pemilihan ini ada team A,B atau C tetapi itu sama sekali tidak menggugat keutuhan parti,” katanya semalam.

 

Zulpuri berkata, beliau berjanji akan terus bersama parti memberikan sokongan kepada pimpinan baharu dan tidak ada masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja untuk kemenangan parti selepas ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.