Bunuh Rakan Kerana Taksub Filem Zombi

ALBUQUERQUE – Ketaksuban menonton siri te­levisyen The Walking Dead menyebabkan seorang lelaki sanggup memukul rakannya sehingga mati kerana mempercayai mangsa akan berubah menjadi ‘zombi’.

 

Menurut polis, Damon Perry , 23, dari New Mexico, dituduh membunuh Christopher Paquin, 23 selepas didakwa menyerang lelaki itu dengan objek tajam termasuk memukulnya menggunakan sebuah gitar dan ketuhar gelombang mikro dalam kejadian Khamis lalu.

 

Pihak polis dalam kenyataannya memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik akibat kecederaan teruk di seluruh badan.

 

Menurut pihak polis, siasatan awal mendapati Perry dan Paquin sebelum ini dikatakan amat meminati siri The Walking Dead di saluran AMC yang mengisahkan tentang kewujudan zombi.

 

“Polis yang bergegas ke sebuah pangsapuri selepas mendapat laporan mengenai serangan itu mendapati dua orang pekerja penyelenggaraan sedang mengangkat Perry dan kemudian menjumpai mayat Paquin di tempat kejadian.

 

“Perry memberitahu penyiasat dia mabuk dan ketika itu dia melihat rakannya mula berubah menjadi zombi,” kata kenyataan tersebut.

 

Detektif Polis, Moses Marquez turut menyifatkan kejadian tersebut merupakan satu daripada kes pembunuhan paling pelik dan mengerikan yang pernah ditemuinya.

 

Peguam Perry sehingga kini tidak memberikan sebarang komen dan pendengaran awal kes tersebut ditetapkan pada 3 November ini. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.