Bekas Timbalan Presiden Pas Dilantik CEO GMM

Kuala Lumpur – Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baru dilantik, Nasharuddin Mat Isa menganggap pelantikannya itu sebagai amanah besar dan akan berusaha untuk mengemudi pertubuhan bukan kerajaan tersebut selaras dengan keperluan masa kini.

 

Menurut Nasharuddin, beliau juga ingin memastikan GMM mengekalkan objektif penubuhannya iaitu menjadi platform penting dalam hubungan dan dasar luar negara dengan menjadikan kesederhanaan sebagai kerangka utamanya.

 

“Ia adalah antara intipati yang akan memastikan GMM kekal relevan bersama-sama pembangunan negara dan juga arena diplomasi serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahalu, Pengerusi GMM, Tan Sri Razali Ismail mengumumkan pelantikan Nasharuddin ke jawatan tersebut bermula 1 November depan menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang meletakkan jawatan selepas menyertai PKR baru-baru ini.

 

Pada masa kini, beliau merupakan Pengerusi Yayasan Nassar iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan ahli Majlis Perhubungan Cina Islam (CICR).

 

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan beliau telahpun menghantar surat perletakan jawatan pada 15 Oktober lalu dan akan berkuatkuasa mulai 31 Oktober depan.

 

Jelasnya, beliau mengalu-alukan perlantikan bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan ke jawatan yang disandangnya sebelum ini.

 

“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Nasharudin dan akan ada majlis penyerahan tugas daripada saya kepada beliau,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.