Angka Korban Gempa Pakistan, Cecah 265 Orang

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Syed Hasan Raza berkata jumlah mangsa yang terkorban dalam gempa bumi kuat yang melanda sebahagian kawasan di Pakistan semalam, mencecah 265 orang.

 

 

“Kami menerima berita pagi ini 265 warga Pakistan terkorban setakat ini,” katanya kepada pemberita sempena memperingati ‘Kashmir Black Day’ (Hari Hitam Kashmir) yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini, hari ini.

 

 
Laporan menyatakan gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu melanda kawasan pedalaman di Afghanistan dan Pakistan, dengan kebanyakan mangsa adalah warga Pakistan.

 

 
Pesuruhjaya Tinggi itu berkata kerajaan Pakistan menggerakkan pelbagai pasukan ke kawasan terjejas sebaik sahaja gempa bumi melanda dan menjelang petang pasukan penyelamat berjaya tiba di kebanyakan kawasan bencana.

 

 
Beliau berkata helikopter terpaksa digerakkan ke kawasan terjejas, yang tidak dapat diakses kerana cuaca sejuk telah bermula, dan menambah mereka yang terjejas serta-merta dibekalkan makanan dan khemah untuk tempat perlindungan.

 

 
“Kami berharap penilaian akhir yang akan dibuat dalam tempoh dua tiga hari lagi tidak seburuk gempa bumi yang berlaku di Nepal baru-baru ini dan seburuk gempa yang berlaku di Pakistan pada 2005 yang mengorbankan 75,000 orang,” katanya.

 
Gempa bumi bermagnitud 7.8 di Nepal pada April lepas menyebabkan 8,000 orangkehilangan nyawa.
 

Syed Hasan juga berkata Pakistan masih belum meminta bantuan asing “mudah-mudahan kami mampu menguruskannya kerana bilangan yang terlibat tidak ramai dan tidak sukar bagi kami untuk mengendalikannya.

 
“Sudah pasti kerajaan akan menguruskannya berdasarkan sumber yang ada,” katanya dan menambah sebelum ini rakyat Pakistan juga turut bermurah hati menyumbang membantu mereka yang terjejas dalam bencana gempa bumi dan banjir. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.