Alam Yang Bawa Angin, Asap Jerebu Ke Malaysia, Singapura – Jusoff Kalla

JAKARTA – Indonesia menyambut baik langkah proaktif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengunjungi Presiden Joko Widodo untuk berbincang dan memberi cadangan bagi mengatasi masalah kebakaran hutan serta ladang di republik itu.

 

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, langkah Najib itu perlu dicontohi oleh negara jiran lain supaya tidak hanya melemparkan kritikan sedangkan Indonesia sendiri bergelut dengan masalah jerebu.

 

“Indonesia berterima kasih dengan Pak Najib dan semua… secara formal ada persetujuan di peringkat ASEAN tentang kebakaran (hutan dan ladang)…(dan) kalau perlu diatasi bersama, Indonesia berterima kasih atas usaha bersama-sama.

 

“Indonesia telah berusaha dengan menggunakan 20 pesawat lima batalion tentera dan rakyat awam,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

 

Ketika melakukan lawatan kerja singkat di Jakarta baru-baru ini, Najib mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko, atau dikenali sebagai Jokowi, untuk membincangkan isu jerebu dan kerjasama industri kelapa sawit.

 

Dalam pertemuan empat mata itu, perdana menteri memberi cadangan kepada Indonesia supaya membina telaga tiub iaitu satu daripada langkah mengawal kebakaran hutan sebagai alternatif kepada cadangan asal Indonesia untuk membina terusan yang mengambil masa tiga tahun.

 

Jokowi, yang bersetuju dengan cadangan itu, berkata, Indonesia akan menghantar pihak berkuasanya untuk mengkaji pembinaan dan keberkesanan telaga tiub itu seperti yang dilaksanakan oleh Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak.

 

Jusuf berkata, asap jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura adalah atas faktor angin dan oleh sebab itu, Indonesia tidak dapat mengawal jerebu daripada melanda ke negara lain.

 

“Soal asap (jerebu) bagi Indonesia sangat menyulitkan kerana penduduk yang kena banyak di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia. Kita tidak bisa (boleh) control (kawal) angin, alam yang kawal angin dan membawa asap sampai ke Singapura dan Malaysia,” katanya.

 

Beliau berkata sebagai negara jiran, semua pihak harus saling bantu membantu termasuk ketika sesebuah negara dalam kesusahan dan begitulah ketika Indonesia membantu memberi udara segar dengan hutan-hutannya kepada negara jiran. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.