Ahli Perniagaan Dituduh Beri Maklumat Palsu Kepada SPRM

Kuala Lumpur – Seorang ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Komersial Kuala Lumpur berhubung kesalahan memberi penyataan palsu dalam siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

 

Mohamad Azhan Hamza, 31, yang juga broker kereta, dituduh di bawah Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

 

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhan didakwa melakukan kesalahan memberi penyataan palsu kepada pegawai SPRM, Mohamad Farid Jabar, dalam penyataan di bawah Seksyen 32(2)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, berhubung satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2014, antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

 

Mengikut pertuduhan, bagi soalan “berapa biji kereta yang kamu telah jual melalui ‘dealer’ kereta di TTDI Cars, Melinium Auto di Sentimas Sdn Bhd tersebut”, Mohamad Azhan didakwa menjawab “dari tahun 2008 sehingga tahun 2013, lebih kurang 50 biji.”

 

Mohamad Azhan didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual melalui pengedar kereta di TTDI Cars, Melinium Auto dan di Sentimas Sdn Bhd.

 

Jika sabit kesalahan, Mohamad Azhan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir.

 

Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.