19 Maut Akibat Jerebu Di Indonesia

Jakarta – Angka korban akibat jerebu yang menyelubungi beberapa bahagian Indonesia meningkat kepada 19 orang ketika krisis akibat kebakaran hutan itu semakin buruk.

 

Sejak lebih dua bulan lalu, ribuan kebakaran hutan akibat kaedah pertanian tebang dan bakar di Indonesia menyebabkan sebahagian besar kawasan Asia Tenggara diselubungi asap sehingga memaksa banyak penerbangan dan acara antarabangsa dibatalkan.

 

Dianggarkan setengah juta orang mengalami masalah pernafasan sejak kebakaran bermula Julai lalu.

 

Agensi bencana Indonesia sebelum ini menyatakan 10 orang meninggal dunia akibat masalah pernafasan dengan sebilangan daripada mereka maut ketika memadam kebakaran.

 

Bagaimanapun, seorang menteri sosial Indonesia mengesahkan angka korban itu sudah meningkat.

 

“Pada pagi ini, terdapat 19 orang yang meninggal dunia akibat jerebu,” kata Khofifah Indar Parawansa kepada wartawan di Jakarta.

 

Mangsa yang terkorban semuanya dari Sumatera dan Kalimantan di mana kebakaran dimulakan oleh petani bagi membersihkan kawasan hutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.