Video: Penyokong Anwar Pijak Dan Ludah ‘Saiful Bukhari’

Putrajaya – Penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan kekecohan akibat rasa tidak puas hati selepas dilarang pihak polis daripada berkumpul di kawasan luar pintu masuk Istana Kehakiman di sini, Khamis.

Seorang penyokong lelaki berpakaian baju-t kuning, berjaket hitam berlambangkan perkataan ‘Bersih’ berusia lewat 50-an dilihat berunding dengan pihak polis dan melemparkan pelbagai perkataan provokasi untuk menimbulkan suasana tegang.

Namun setelah dinasihatkan secara baik oleh pihak polis, lebih 200 penyokong Anwar dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Indian Voice, Jingga 13, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Wanita (Wirda) serta Parti Sosialis Malaysia, bersurai.

Sementara itu sekumpulan penyokong Anwar Ibrahim dilihat bertindak memijak dan meludah baju yang memaparkan wajah Saiful Bukhari.

Tindakan itu bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan Saiful yang membuat dakwaan terhadap Anwar yang disifatkan sebagai teraniaya.

Mereka berkumpul sejak awal pagi bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang prosiding rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan bermula Khamis.

Seorang penyokong tegar berusia lingkungan 60-an cuba mencetuskan suasana tidak sihat apabila melaungkan beberapa sajak yang mengutuk kerajaan sejak dari awal pagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.