Video: PAS Akui ‘Disiku’ Rakan Sekutu Dalam Pakatan

Kuala Lumpur – PAS akui parti itu sering menjadi mangsa permainan politik dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata sikap bertolak-ansur PAS ketika berdepan pelbagai isu dalam PR, menyebabkan parti itu dilihat seperti dibuli.

“Hanya kita kena faham, bila berkawan, kalau dulu biasanya main seorang, tapi sekarang dah ada kawan.

“Tidak boleh ‘kememeh’ (terlalu manja), main bola dengan kawan pun kadang-kadang kena siku.

“Lalu relakslah…kalau kena siku, balik rumah beritahu ayah mak dibuli, takut-takut akhir nanti tidak ada orang nak kawan,” katanya ketika membahaskan ucapan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Berbeza sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor sebelum ini, Khalid mendakwa, PAS lebih teruk dibuli dengan pelbagai sekatan yang dikenakan.

Menurut Khalid, BN menggunakan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghalang program anjuran parti Islam itu, seperti ceramah dan mengajar agama.

“Dulu semasa Selangor di bawah BN, memang PAS teruk dibuli. Kuliah dilarang, surau dirantai, dikunci, nak guna dewan untuk ceramah dihalang, ceramah di padang atau di rumah, mikrofon dirampas polis.

“Masa itu, dengan BN memang PAS dibuli. Sekarang ustaz dan pimpinan PAS mengajar di surau dan masjid tanpa gangguan.

“Malahan, pimpinan PAS berucap di kuil dan gereja pun tidak ada halangan. FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) pun relaks, polis pun tidak ganggu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.