Siasatan Kes Zahid Hampir Selesai

Kuala Lumpur – Perkembangan siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini diperingkat perbincangan dengan pihak peguam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan kes itu hampir selesai.

“Dalam proses siasatan itu, kita sentiasa berbincang dengan peguam negara dan meneruskan siasatan kita pada masa yang sama,” katanya.

Menurutnya, rententan perbincangan mengenai kes siasatan yang sedang berlangsung, seperti kes melibatkan Menteri Dalam Negeri itu, adalah perkara biasa.

Siasatan dibuat susulan laporan polis yang dibuat DAP Perak, 29 September lalu, yang mendakwa Zahid membuat kenyataan menghasut sewaktu menyampaikan satu ucapan semasa kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

DAP mendakwa Zahid dalam ceramahnya menuduh penyokong DAP membaling batu ke arah kereta beliau dan kereta Raja Muda Perak sewaktu krisis peralihan kuasa di Perak pada tahun 2009.

Khalid pada 15 Oktober lalu menyatakan bahawa polis sudah selesai merakam kenyataan Zahid susulan laporan polis itu.

Zahid sendiri pada hari sama di lobi parlimen menegaskan, beliau sudah menyerahkan bukti supaya polis menyiasatnya dua hari sebelum itu.

“Betul dan saya telah kemukakan bukan saja audio tapi juga visual dan transkrip ucapan saya kepada pihak polis,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu juga berkata, beliau memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menyiasat beliau sebagai seorang menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.