Sesi Rayuan Terakhir Kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim Dilanjut

Putrajaya – Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang dijadual berlangsung hari ini dan esok akan berlanjutan ke hari ketiga.

Setelah bertanya kepada peguambela kes atau pihak perayu mengenai tempoh masa yang diperlukan dalam pembentangan hujah, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria memberi indikasi bahawa sesi prosiding rayuan berkemungkinan dilanjutkan sehingga Khamis.

Ini berikutan hujah oleh ketua pasukan pembelaan iaitu Datuk Gopal Sri Ram, masih belum selesai sejak prosiding bermula jam 9.20 pagi tadi.

Walaupun sudah berhenti rehat dua kali termasuk makan tengah hari, Gopal yang berhujah tentang kredibiliti saksi utama iaitu Mohd Saiful, masih berbaki dua jam.

Sesi hujah beliau didengar lagi selepas sidang bersambung semula pada jam 2.30 petang.

 

Kredibiliti Saiful dipertikai

Gopal yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan dalam pembentangan hujah sepanjang hari ini mahu membuktikan bahawa pengadu kes liwat iaitu Mohd Saiful bukan saksi yang mempunyai kredibiliti.

Antara yang menjadi tumpuan dalam hujahnya adalah mengenai bahan bukti gel pelincir KY Jelly yang digunakan semasa Anwar meliwatnya. Bukti itu disusuli pula dengan dakwaan Mohd Saiful yang mengalami kesakitan di duburnya serta rasa senak akibat diliwat secara rakus oleh Anwar.

Menurut Gopal, sekiranya benar gel pelincir itu digunakan, tentunya kesakitan tersebut tidak terjadi seperti yang dinyatakan. Tambahnya, bukti perubatan juga merekodkan tiada trauma atau kecederaan direkodkan di dubur Mohd Saiful.

Dalam prosiding rayuan tersebut, Gopal turut mengemukakan hujah tentang testimoni Mohd Saiful yang tidak konsisten.

Dalam testimoni Mohd Saiful tersebut, dinyatakan bahawa air mani yang berada dalam duburnya dibiarkan selama beberapa hari. Namun ketika pembuktian yang diperiksa balas oleh mendiang Karpal Singh dahulu, Mohd Saiful memberitahu bahawa dia tidak mandi selepas perlakuan liwat tersebut dan hanya membilas tubuhnya. Mohd Saiful juga, menurut Gopal, telah mandi pada sebelah pagi sebelum insiden berkenaan.

 

Laporan polis

Dalam hujah lain yang menyerang kelayakan Saiful sebagai saksi utama, Gopal juga menimbulkan curiga mengenai tindakan Mohd Saiful yang hanya membuat laporan polis selepas dua hari insiden liwat itu berlaku. Mohd Saiful berrbuat demikian atas alasan bimbang akan keselamatan dirinya.

Hujah Gopal, sekiranya ia benar, Mohd Saiful tentunya membuat laporan atau membuat pemeriksaan fizikal secepat mungkin. Namun begitu, Mohd Saiful menunggu sehingga dua hari untuk ke hospital dan seterusnya membuat laporan polis pada 28 Jun 2008.

Gopal turut berhujah tentang Mohd Saiful yang membuat pertemuan dengan Anwar sehari selepas insiden tersebut dan seterusnya menghadiri sesi minum teh bersama di kediaman Anwar.

“Ada yang tidak kena pada kelakuannya pada 27 Jun 2008, iaitu sehari selepas insiden liwat itu. Mohd Saiful telah mengenal pasti dirinya dalam gambar yang diambil sewaktu sesi minum teh tersebut. Daripada gambar itu, Mohd Saiful tidak kelihatan seperti seseorang yang dalam perasaan takut atau terancam (keselamatannya),” kata Gopal.

 

Rekod pertemuan Mohd Saiful

Mengakhiri prosiding hari pertama adalah hujah daripada peguam N. Surendran yang menyentuh soal pertemuan Mohd Saiful dengan pegawai polis kanan, SAC Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof pada 24 Jun 2008.

Surendran sekali lagi memberitahu mahkamah mengenai Mohd Saiful yang telah berjumpa dengan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu pada tarikh 24 Jun 2008. Selain itu, pertemuan juga telah dibuat dengan Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Musa Hassan pada 25 Jun 2008.

Berdasarkan rekod pertemuan yang diakui oleh Mohd Saiful tersebut, Surendran menghuraikan kemungkinan ‘perancangan pihak tertentu’ dalam menjatuhkan reputasi Anwar.

Dalam sesi prosiding rayuan terakhir kes liwat tadi, Anwar berusaha untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas perbuatan liwat tersebut. Sementara itu, pihak pendakwaraya sudah memfailkan rayuan balas untuk memanjangkan tempoh hukuman tersebut ke atas Anwar.

Selepas Gopal dan Surendran, ada dua lagi peguam dalam pasukan pembelaan akan membentangkan hujah masing-masing.

Sangeet Kaur Deo akan berhujah mengenai prosiding Mahkamah Rayuan dan Ramkarpal Singh akan berhujah tentang keterangan pakar dan bukti perubatan.

Pasukan pembelaan Anwar membentangkan 46 hujah untuk meyakinkan mahkamah supaya membebaskan Ketua Pembangkang itu daripada pendakwaan berkenaan.

Sepanjang sesi prosiding rayuan hari pertama, selain keluarga terdekat Anwar, mereka yang dilihat memberi sokongan kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat itu ialah Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli; ahli PKR Datuk Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham.

Prosiding rayuan tersebut dibentangkan di hadapan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Arifin selain Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Prosiding rayuan kes liwat Anwar ditangguh jam 6 petang tadi dan disambung esok jam 9.30 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.