RM2 Juta Lesap Disamun

Sri Kembangan – Tindakan empat pekerja sebuah syarikat kawalan keselamatan berhenti makan di sebuah restoran mengundang padah, apabila van keselamatan yang membawa wang tunai RM2 juta disamun, dalam kejadian di Taman Equine, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, empat pekerja terbabit baru selesai mengutip wang tunai di beberapa bank di kawasan itu, sebelum berhenti untuk makan malam di sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad, berkata tiga pengawal keselamatan itu telah memasuki restoran berkenaan, manakala seorang lagi tidur di dalam van, kerana tidak sihat.

Menurutnya, pekerja yang berada dalam van itu mendakwa didatangi dua lelaki yang bertindak mengikatnya, lalu melarikan van berkenaan sejauh dua kilometer, sebelum menghilangkan diri bersama wang tunai.

Senjata jenis ‘pump gun’ yang diletakkan dalam van berkenaan, bagaimanapun tidak dilarikan penjenayah.

“Setakat ini, polis menahan keempat-empat pekerja terbabit untuk siasatan.

“Empat pekerja terbabit kini direman selama empat hari, bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di restoran itu tidak menampakkan imej suspek, kerana ia tidak memfokuskan ke arah jalan.

Tambahan, van keselamatan itu diletakkan di seberang jalan, kira-kira 20 hingga 30 meter dari restoran berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.