Najib: Usaha Sama Dalam Pendidikan Penting Untuk Pertumbuhan

Oleh: Massita Ahmad

Dubai – Usaha sama secara inovatif patut bermula dengan pendidikan yang merupakan aspek paling penting untuk pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10.

“Dengan mengutamakan pendidikan, sejak awal usia dan sepanjang hayat, kita mampu membuka peluang baharu untuk rakyat, sumber insan yang baharu untuk perniagaan serta pertumbuhan baharu untuk negara kita.

“Bagi memenuhi objektif ini, usaha sama inovatif antara penyedia pendidikan sektor swasta, kerajaan dan masyarakat perlu dijalin,” kata Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF dalam ucapan khas pada pembukaan forum tiga hari itu di sini pada Selasa.

Forum bertema ‘Usaha Sama Inovatif untuk Pertumbuhan Ekonomi’ itu berlangsung di Madinat Jumeirah di sini hingga 30 Okt.

Turut hadir Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai; Nursultan Nazarbayev Presiden Kazakhstan, dan Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan WIEF.

“Pendidikan penting dalam sejarah kita. Sesungguhnya wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad ialah ‘Baca’. Pada zaman kegemilangan Islam, universiti pertama dunia – Bayt al-Hikma di Baghdad, dan al-Qarawiyyin di Fez – diwujudkan di bumi Islam.

“Dari Kaherah ke Cordoba, cendekiawan dari seluruh dunia bertumpu ke ibu negara Islam untuk belajar, menterjemah dan berbincang, memulihara hasil zaman-berzaman dan meningkatkan pengetahuan manusia dalam segala bidang, daripada astronomi hinggalah kepada geografi,” katanya.

Najib berkata selama berabad-abad lamanya, umat Islam memimpin dunia dalam pembelajaran, namun di sebalik kejayaan bermakna ini, ‘kita tidak menjadikan permulaan yang kukuh ini kepada suatu legasi berkekalan.

Hari ini, katanya ‘tidak ramai umat Islam yang boleh membaca atau menulis’.

Memetik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam, Najib berkata kadar buta huruf di beberapa negara Islam kini mencecah 40 peratus dalam kalangan lelaki dan 65 peratus wanita.

“Tradisi kita merintis bidang sains tidak menghasilkan generasi pemimpin saintis moden, hanya dua umat Islam memenangi Hadiah Nobel untuk Kimia atau Fizik.

“Kita memiliki universiti tertua di dunia, namun hanya beberapa sahaja yang terbaik di dunia, dan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam membelanjakan satu pertiga daripada purata dunia untuk pendidikan dan pembangunan,” katanya.

Akibatnya terlalu ramai umat Islam terlepas peluang – dan terlalu banyak negara Islam hilang aset terbesar mereka iaitu sumber manusia, katanya.

Dengan mengutamakan pendidikan sepanjang hayat, Najib berkata potensi untuk rakyat mengurangkan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup dan memanfaatkan pertumbuhan Alaf ke-21, boleh direalisasikan.

“Kita perlukan usaha sama baharu dan inovatif sesama pendidik, kerajaan dan swasta serta sektor ketiga untuk menutup jurang itu,” katanya.

Najib yang juga Menteri Pendidikan dari 1995 hingga 2000, berkata titik permulaan ialah celik huruf, yang merupakan asas kepada kejayaan.

Beliau berkata menurut Yayasan Literasi Dunia, kos buta huruf kepada ekonomi dunia lebih daripada AS$1 trilion setahun.

Namun kos manusia lebih besar; seorang kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang celik huruf, 50 peratus mungkin hidup melebihi usia lima tahun, katanya.

“Kita perlu bersatu menyokong gesaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan untuk ‘menggunakan segala cara yang ada bagi memastikan rakyat kita boleh membaca, menulis, yang kelak boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Kita harus mengikuti contoh negara-negara Arab, yang kadar celik huruf dalam kalangan dewasa telah meningkat 20 peratus dalam tempoh 20 tahun atau negara-negara Asia Tenggara, dengan kadar celik huruf sentiasa melepasi 90 peratus,” katanya.

Di samping usaha untuk meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan dewasa dan belia, Najib berkata ‘kita harus terus memberi tumpuan ke atas dasar dan sumber di sekolah’.

Beliau berkata pendidikan rendah dan menengah merupakan asas standard yang membolehkan kejayaan dicapai.

Najib berkata laporan UNESCO menunjukkan setiap penambahan tahun bersekolah akan meningkatkan pendapatan seseorang sehingga 10 peratus manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh sebanyak 0.37 peratus.

Najib menegaskan bahawa seorang aktivis pendidikan paling berani di dunia ialah orang Islam, Malala Yousafzai, pemenang Nobel Keamanan.

Beliau berjaya menarik perhatian dunia terhadap perjuangan yang masih dihadapi gadis-gadis dalam memperoleh pendidikan.

“Kita perlu menghormati keberanian dan usahanya dengan terus memberi tumpuan kepada menyediakan pendidikan berkualiti di sekolah rendah dan menengah untuk semua rakyat kita; menghalang anak-anak muda daripada tercicir dan bekerjasama dengan negara-negara yang minoriti Islam yang cukup besar untuk memahami mengapa sesetengah masyarakat Islam berprestasi rendah, manakala yang lain berjaya,” katanya.

“Banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kualiti dan kapasiti dalam sistem pendidikan. Apabila teknologi semakin menular ke tempat kerja, mewujudkan sektor dan kerjaya baharu, negara-negara kini bersaing untuk mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

Ini termasuk pengetahuan saintifik, dengan negara seperti Turki dan Iran telah membuat lonjakan besar ke hadapan, katanya.

Dengan melabur dalam penyelidikan dan menyokong kajian saintifik, negara-negara seperti Mesir dan Arab Saudi mewujudkan reputasi yang kukuh dan hasil yang berjaya, katanya.

“Dan untuk menggalakkan sektor teknologi baharu, Dubai, telah merintis jalan, menjadikan ekonomi digital sebagai satu tunggak dasar ekonomi mereka,” katanya.

Bagi Malaysia, penerbit sukuk negara pertama di dunia, Najib berkata bahawa Malaysia telah membuat keputusan strategik untuk memberi tumpuan kepada kewangan Islam, dengan institusi dan program dirancang untuk melatih profesional dalam sektor yang pesat berkembang ini.

“Lazimnya, perbincangan tentang pendidikan berhenti di peringkat universiti. Tetapi kita boleh berusaha untuk menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat. Ini termasuk program vokasional dan lepasan ijazah dalam bidang khusus,” katanya.

WIEF dianjurkan oleh Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai.

Forum ini mengumpulkan barisan sembilan pemimpin, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 181 penggiat utama dan lebih 2,000 delegasi dari lebih 100 negara.

Najib tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari sempena Edisi ke-10 WIEF.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.